
Ikmal Hisham sedia dikenakan hukuman berat jika terbukti hisap vape di Parlimen
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz sedia dikenakan hukuman tegas jika terbukti menghisap vape di Parlimen.
Ikmal Hisham berkata demikian selepas menyerahkan surat penjelasan berhubung isu itu di Perlimen hari ini kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin Ikmal.
Pada masa sama, beliau juga berharap tindakan tegas diambil mengikut peraturan Dewan Rakyat terhadap jurugambar perdana menteri yang telah memfitnahnya.
“Hari ini 27 September saya telah menyerahkan surat saya untuk memberi penjelasan setelah saya menerima surat Setiausaha Dewan Rakyat yang bertarikh 21 September yang memohon penjelasan mengenai dakwaan saya telah menghisap vape dalam Dewan Rakyat.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya saya menghisap vape kerana saya bukan perokok, hisap vape dan apa yang saya pegang itu hanyalah sebatang pen. Bukan dihisap, pen itu diletakkan dibibir saya secara spontan seketika.
“Sebab itu saya meminta kepada Speaker Dewan Rakyat untuk kemukakan rakaman CCTV yang mana dengan CCTV ini akan membersihkan nama baik saya dan jika terbukti saya menghisap vape saya mohon pada Speaker tindakan tegas dikenakan terhadap saya.
“Jika tuduhan jurugambar perdana menteri terhadap saya tidak benar, saya minta Speaker mengambil tindakan kepada jurutfoto itu di bawah peraturan mesyuarat 93,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya jika terbukti beliau tidak bersalah, tindakan jurugambar perdana menteri itu jelas mencemari kemuliaan Dewan Rakyat.
Ikmal Hisham turut mengesahkan bahawa tindakan saman terhadap jurugambar berkenaan telah bermula dan notis saman akan diserahkan Jumaat ini.
“Dalam saman saya kepada jurugambar itu, saya meminta dia menurunkan posting yang dibuat di Twitter. Jelas dia telah membuat tuduhan jahat terhadap saya melalui postingnya itu.
“Bagi saya ini satu jenayah, sebab tanpa usul periksa dia terus tuduh orang hisap vape. Vape ni ada asap, tapi yang ini tak ada asap.
“Jika kita dapat rakaman CCTV, salinan gambar yang diambil kita dapat membuktikan saya tidak menghisap vape,” katanya.
Katanya gambar yang tular itu telah dilihat lebih 1 juta pengguna media sosial, selain turut memberi komen negatif, ia pasti meninggalkan kesan tidak baik terhadap maruah dan nama baiknya .
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






