IKMa rai 90 graduan sijil eksekutif, fokus perkasa kompetensi dan transformasi digital
BANGI– Seramai 90 graduan dirai dalam Majlis Apresiasi Graduan Sijil Eksekutif Korporasi 2024 yang dianjurkan oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa), di Hotel Resort Bangi, di sini semalam.
Majlis itu merupakan simbolik kepada komitmen IKMa dalam memperkasa pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan pegawai dan anggota koperasi di seluruh negara.
Timbalan Ketua Pengarah, Pembangunan Modal Insan IKMa, Mohd Zain Mat Yunus berkata, majlis tersebut bukan sekadar penghargaan tetapi juga satu pengiktirafan kepada usaha gigih graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam program sijil eksekutif yang ditawarkan.
“Majlis ini adalah program untuk kita menghargai pelajar-pelajar kita ataupun mahasiswa kita. Kita tawarkan tiga sijil eksekutif dan seramai 90 graduan diraikan pada hari ini,” katanya ketika kepada Malaysia Tribune pada majlis itu.
Hadir sama Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Hamidah Mohd Jos dan Pengarah Kanan (Pembangunan dan Perundingan Koperasi), Mohd Rasydi Abd Rashid.
Menurut Mohd Zain, program sijil eksekutif yang bermula sejak tahun 2006 mula ditawarkan di Sarawak sebelum dikembangkan ke Sabah dan Semenanjung Malaysia pada tahun 2020 dengan penambahbaikan kurikulum yang lebih relevan dan holistik.
“Kita telah memberi nafas baru kepada program sijil ini dengan menawarkan empat sijil utama iaitu Sijil Pengurusan Korporasi, Sijil Setiausaha Korporasi, Sijil Digitalisasi Korporasi dan yang terbaharu Sijil Peladangan,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, program sijil itu adalah sebahagian daripada strategi menyeluruh IKMa dalam mempertingkatkan kompetensi pegawai koperasi melalui latihan berbentuk pendek yang dijalankan sepanjang tahun di seluruh negara.
“Sepanjang tahun kita laksanakan antara enam hingga tujuh ratus program latihan pendek di sepuluh cawangan IKMa di seluruh negara.
“Fokus kita adalah kepada barisan lembaga, jawatankuasa audit dalaman dan pengurusan kanan koperasi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa IKMa kini giat melaksanakan inisiatif transformasi digital koperasi menerusi penubuhan Unit Transformasi Digital yang berperanan membantu koperasi bergerak seiring dengan arus teknologi dan digitalisasi.
“Kita telah menubuhkan Unit Transformasi Digital yang bertujuan melengkapkan koperasi dengan keupayaan teknologi dan digitalisasi supaya mereka dapat bersaing seperti syarikat luar sana,” katanya.
Menurut beliau, melalui program Cooperative Digitalisation Empowerment (CODE), IKMa mensasarkan seramai 200 koperasi terpilih untuk menerima bimbingan dalam aspek digital merangkumi sektor peruncitan, pelancongan, platform Arrano serta pengurusan anggota dan kewangan.
“Kita bantu koperasi-koperasi ini dalam empat aspek utama supaya mereka dapat meningkatkan kecekapan melalui penggunaan digital, termasuk elemen kecerdasan buatan (AI) dan automasi,” katanya.
Jelasnya lagi, IKMa juga menjalankan lebih daripada 50 program digitalisasi setiap tahun menerusi Pusat ICT bagi memperkasakan ilmu, latihan dan informasi berkaitan teknologi kepada koperasi-koperasi seluruh negara.
“Kami harap koperasi-koperasi dapat beri komitmen dalam program digitalisasi ini demi menjayakan transformasi digital dan seterusnya meningkatkan pendapatan dan keberkesanan koperasi itu sendiri,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








