
IKMa komited tingkat pendigitalan perniagaan
KUALA LUMPUR – Sektor koperasi tempatan mencatatkan prestasi membanggakan dengan peningkatan perolehan yang ketara daripada RM37.9 bilion pada tahun 2021 kepada RM44.5 bilion tahun lalu.
Meskipun menyumbang hasil yang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara, potensi sebenar sektor itu boleh dikatakan masih jauh dari sasaran ditetapkan kerajaan.
Bahkan jika diperincikan, jumlah perolehan itu hanya disumbang oleh 324 buah koperasi yang bersamaan hanya dua peratus daripada keseluruhan 16,000 koperasi yang berdaftar di negara ini.
Melihat pada potensi dan cabaran ekonomi semasa, Institut Koperasi Malaysia (IKMa) menyedari keperluan dan anjakan yang perlu dilakukan dalam memperkasakan sektor koperasi negara.

Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd Ali Mansor berkata, salah satu daripada inisiatif yang diberikan tumpuan oleh IKMa sebagai sebuah institusi latihan koperasi pada ketika ini adalah pada aspek pendigitalan perniagaan.
Katanya, data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menyatakan sebanyak RM289 bilion (19.1 peratus) daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disumbang melalui ekonomi digital jelas membuktikan satu pelan jangka masa panjang dan proaktif perlu dilaksanakan.
“Gerakan koperasi perlu melihat kepada aspek persaingan ekonomi global kerana sebelum ini latihan banyak tertumpu kepada pembangunan jangka masa pendek, yang mana ahli-ahli koperasi hanya diberikan latihan pembangunan tatakelola, pengurusan dan pentadbiran syaraikat,” katanya kepada dalam temu bual bersama Malaysia Tribune baru-baru ini.
Bagaimanapun dari tahun ke tahun katanya, IKMa berusaha memperbaharui bentuk latihan dan pendidikan yang bukan hanya tertumpu kepada pembangunan modal insan, keusahawanan, pengurusan dan pentadbiran bahkan dalam penguasaan teknologi digital.
“Usaha melalui kursus dan latihan digital juga adalah sebagai menyahut seruan kerajaan supaya sektor koperasi dapat berhijrah ke arah digitalisasi dalam memperkasakan urusan pentadbiran dan kegiatan ekonominya,” katanya.
Menurut Mohd Ali, beberapa program kini dirangka pihaknya bagi membolehkan pembangunan digitalisasi dapat diterapkan selaras dengan Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030) dan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030.

Tambahnya, sebahagian daripada program yang ditawarkan IKMa termasuk pengurusan digitalisasi koperasi yang membuka peluang kepada ahli mengaplikasikan kemahiran pengurusan secara dalam talian yang menyumbang kepada keberkesanan organisasi.
“IKMa juga memberi tumpuan kepada pengenalan dan penggunaan teknologi kecerdasan pintar (AI) dalam urus tadbir perniagaan dan sebagai ‘senjata’ untuk meningkatkan capaian yang lebih luas.
“Kemahiran dan litarasi digital ini sudah pasti memberi banyak manfaat sekaligus melonjak koperasi kecil kepada sederhana, sederhana menjadi besar dan terus kekal relevan,” katanya.
Selain itu katanya, penerapan aspek digital dalam pengurusan perniagaan diharap dapat menarik penglibatan lebih ramai golongan muda yang masih begitu kecil peratusannya.
“Sudah sampai masanya kita menaik taraf dan menukar sinonim perniagaan koperasi dengan cara lama kepada teknologi semasa bersesuaian dengan keupayaan generasi muda kita,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 50 buah koperasi akan menyertai program pendigitalan koperasi anjuran IKMa pada tahun ini.
“Hasrat kami juga adalah untuk melihat Malaysia diletakkan di dalam ‘peta’ koperasi antarabangsa,” ujar beliau
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |