BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

IKBK’24: SKM pertimbang beri geran bantuan kepada koperasi terima Anugerah Projek Terbaik

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bersedia untuk mempertimbangkan geran bantuan pembangunan kepada koperasi yang memperolehi Anugerah Projek Terbaik sempena penganjuran Program Inovasi Keusahawanan Belia Koperasi 2024 (IKBK’24) tahun ini.
 
Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B) berkata, dana tersebut adalah bertujuan untuk memperkasakan aktiviti ekonomi koperasi yang dikemukakan melalui penganjuran IKBK.

“Semoga anugerah ini menjadi inspirasi dan motivasi kepada semua belia untuk meningkatkan lagi prestasi pada masa hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis penutup IKBK’24 di ibu negara hari ini.

Pada masa yang sama, Ahmad Norihan menyampaikan hadiah berupa wang tunai sebanyak RM10,000 kepada penerima Anugerah Projek Terbaik bagi Program IKBK’24, iaitu Koperasi Kolej Kemahiran Tinggi MARA Kemaman Berhad.

Naib johan dirangkul Koperasi Kolej Vokasional Bintulu Berhad, manakala tempat ketiga diraih Koperasi Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan Berhad.

Terdahulu, IKBK’24 telah dijayakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa).
 
IKBK’24 julung kali diadakan pada tahun 2024 dengan melibatkan kumpulan sasar belia dalam gerakan koperasi.

Antara peserta Program Inovasi Keusahawanan Belia Koperasi 2024 (IKBK’24) yang menghadiri majlis penutup di ibu negara hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Pelaksanaannya selari dengan dasar-dasar semasa berkaitan koperasi yang bermatlamatkan pembudayaan keusahawanan dalam segenap lapisan masyarakat, pengukuhan bakat dan pembangunan modal insan serta membangunkan generasi pemimpin koperasi.

Objektif utama program adalah untuk memberikan pendedahan dan peluang bagi membangunkan produk atau aktiviti sedia ada melalui pengembangan idea inovasi baharu.

Sebagai rekod, sebanyak 21 buah koperasi daripada seluruh negara dengan penglibatan seramai 84 orang peserta sepanjang penganjuran IKBK’24.

Mengulas lanjut, Ahmad Norihan berkata, gerakan koperasi kini berada dalam era teknologi dan digitalisasi yang memerlukan koperasi di negara ini perlu menjadi lebih kreatif, berinovasi, serta menceburi perniagaan berskala besar.

Katanya koperasi perlu sentiasa memperkenalkan produk-produk dan perkhidmatan baharu yang dapat memenuhi kehendak pelanggan yang kian berubah.
 
“Keusahawanan perlu diterokai oleh generasi muda bagi mewujudkan modal insan yang dapat membangunkan ekonomi negara.

“Oleh itu, IKBK ini merupakan medium terbaik untuk memupuk minat golongan belia bagi menceburi bidang perniagaan melalui koperasi.

“Pewujudan budaya keusahawanan melalui koperasi ini dapat memberikan pendedahan kepada golongan belia untuk mengasah bakat keusahawanan mereka,” katanya lagi dalam ucapan beliau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button