BERITA SEMASA

IIPC: Interaksi, dialog antara kumpulan agama dan komuniti kunci perpaduan – Menteri Perpaduan

KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menyeru agar pendekatan proaktif untuk menggalakkan interaksi serta dialog antara kumpulan agama dan komuniti dilaksanakan bagi membina sebuah masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu.

Menurut Aaron, interaksi dan dialog merupakan dua alat penting yang mampu merapatkan jurang, memupuk persefahaman dan menyatukan masyarakat.

Jelas beliau, tanpa elemen tersebut, akan berlaku ketidakpercayaan, konflik meningkat serta menjejaskan perpaduan kaum di negara ini.

“Dalam masyarakat yang harmoni, interaksi dan dialog membolehkan kita menghargai kepelbagaian, menyelesaikan salah faham, serta bersatu untuk mencapai matlamat bersama.

“Interaksi ialah benang yang menganyam kepelbagaian dalam masyarakat kita, manakala dialog adalah medium untuk kita menyuarakan nilai, menyelesaikan konflik, dan merancang kemajuan bersama,” katanya.

Aaron menyampaikan ucapan pada Persidangan Keamanan Antara Agama Antarabangsa (IIPC). – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Keamanan Antara Agama Antarabangsa (IIPC) yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Penyelarasan Gabungan NGO Islam (ACCIN) di ibu negara, hari ini.

Dalam ucapannya, Aaron menegaskan bahawa polarisasi merupakan penghalang utama kepada interaksi yang bermakna. Beliau menyatakan bahawa pembahagian masyarakat semakin buruk akibat maklumat salah, prasangka, serta kekurangan pemahaman terhadap pengalaman hidup orang lain.

“Ramai yang keberatan untuk terlibat dalam dialog kerana takut dinilai atau ditolak. Teknologi pula mewujudkan ‘kamar gema’ di mana individu hanya berinteraksi dengan pihak yang berkongsi kepercayaan yang sama, sekali gus menghalang pandangan yang berbeza dan memperdalam jurang masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, jurang digital juga menyebabkan komuniti terasing semakin terpinggir dan oleh sebab itu, perlu ada usaha untuk mempromosikan literasi digital serta mendorong dialog yang merentasi dunia maya kepada interaksi dalam kehidupan sebenar.

Sebagai Menteri Perpaduan Negara, Aaron turut berikrar untuk mempergiat usaha membina jambatan antara komuniti, namun beliau menegaskan bahawa ini bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan setiap rakyat, komuniti, dan organisasi.

IIPC 2024 yang dianjurkan buat kali ketiga di Malaysia oleh ACCIN amat bertepatan dengan keadaan semasa, khususnya ancaman terhadap keamanan dunia dan penindasan yang masih berlaku di pelbagai bahagian dunia, termasuk Palestin.

Dengan tema ‘Kepentingan Interaksi dan Dialog untuk Mewujudkan Masyarakat Harmoni yang Sejati’, persidangan ini menghimpunkan pemimpin serta penganut pelbagai agama dari seluruh dunia untuk membincangkan pelbagai isu penting mengenai dunia yang penuh pergolakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button