
Iftar@KL 2025 tarikan berbuka puasa di tengah ibu kota
KUALA LUMPUR – Ribuan orang ramai membanjiri Dataran Merdeka bagi menyertai program Iftar@KL 2025 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Program yang masuk tahun ke 13 itu menawarkan pengalaman unik berbuka puasa di tengah-tengah ibu kota.
Bagi Erny dari Kuala Lumpur, penyertaan tahun ini merupakan pengalaman kali ketiga beliau menghadiri program Iftar@KL yang dianjurkan pada setiap tahun.
Beliau berpendapat bahawa program itu wajar diteruskan kerana ia dapat mengeratkan hubungan dan memupuk perpaduan dalam masyarakat.
“Program seperti ini sangat bagus kerana ia bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai untuk berbuka puasa bersama, tetapi juga menggalakkan interaksi antara sesama kita, walaupun datang dari latar belakang yang berbeza,” katanya.
Seorang lagi pengunjung setia, Ainul dari Setapak berkongsi pengalaman beliau yang setiap tahun tidak pernah melepaskan peluang menghadiri acara ini.
“Saya rasa program ini menarik dan membantu mengeratkan hubungan dengan keluarga serta rakan-rakan.
“Walaupun perlu menghadapi kesesakan jalan raya untuk ke sini, namun kemudahan pengangkutan awam yang berdekatan sangat membantu,” katanya.
Bagi Syeikh Solihin dari Cheras, ia menjadi pengalaman pertamanya menyertai program iftar beramai-ramai di Dataran Merdeka.
“Suasana di sini sangat meriah, Saya rasa program seperti ini wajar diteruskan kerana ia mencerminkan kepelbagaian budaya dalam negara kita.
“Walaupun kita tidak saling mengenali, kita masih boleh berbuka puasa bersama dalam suasana yang harmoni,” ujarnya.
Program Iftar@KL 2025 bukan sahaja memberi peluang kepada masyarakat untuk berbuka puasa bersama, malah turut memperlihatkan keindahan nilai perpaduan dan kebersamaan dalam bulan Ramadan.
Program itu turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta sokongan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tourism Malaysia serta syarikat korporat seperti AGRO Bank, FGV, BSN dan F&N.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |