
Iftar@KL 2025 cerminan perpaduan
KUALA LUMPUR – Iftar @ KL 2025 bukan sekadar acara berbuka puasa, tetapi mencerminkan nilai perpaduan, keprihatinan dan semangat gotong-royong dalam masyarakat, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan.
Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu telah memasuki edisi ke-13 sejak diperkenalkan pada 2012 dan terus mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Acara ini bukan sahaja mengimarahkan Ramadan sebagai bulan ibadah, tetapi juga menjadi platform menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat bandar, khususnya generasi muda.
“Semangat gotong-royong yang diterapkan dalam program ini, seperti penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, adalah satu usaha yang baik dalam memupuk rasa kebersamaan dan prihatin terhadap golongan yang memerlukan,” katanya.
Program itu turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta sokongan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tourism Malaysia serta syarikat korporat seperti AGRO Bank, FGV, BSN dan F&N.
Menurut beliau, selain memberi peluang kepada orang ramai untuk berbuka puasa di Dataran Merdeka, program itu turut menampilkan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti solat berjemaah, tadarus Al-Quran, sesi Bicara Ramadan dan tazkirah.
“Antara inisiatif menarik tahun ini ialah “Jom Exchange Al-Quran”, iaitu program penukaran naskhah Al-Quran yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan naskhah baharu yang sah.
“Selain itu, program sukarelawan budaya dan kaunter zakat fitrah juga disediakan bagi memberi kemudahan kepada masyarakat untuk melaksanakan ibadah dengan lebih mudah,” katanya.
Tambah beliau, penganjuran Iftar @ KL juga sejajar dengan aspirasi kerajaan Madani yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat melalui aktiviti sosial dan keagamaan yang mampu menyatukan masyarakat.
“Saya berharap program ini dapat diteruskan dan terus mendapat sokongan ramai kerana ia bukan sekadar mengimarahkan Ramadan, tetapi juga mendidik masyarakat tentang kepentingan sikap saling membantu dan menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Iftar @ KL 2025 akan berlangsung di Jalan Raja, Dataran Merdeka selama empat hari pada 15, 16, 22 dan 23 Mac.
Orang ramai dijemput hadir bagi menikmati pengalaman berbuka puasa di Dataran Merdeka serta menyertai aktiviti yang disediakan.Maklumat lanjut boleh diperoleh di www.facebook.com/mysenibudaya
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |