
Iftar HASiL 2025 santuni golongan asnaf, kurang kemampuan
CYBERJAYA – Bersempena dengan Program Mahabbah Ramadan HASiL 2025/1446H, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) telah mengadakan Majlis Penyerahan Sumbangan dan Iftar HASiL 2025 di Dewan Serbaguna, Masjid Raja Haji Fi Sabilillah di sini, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, program itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) LHDN dalam usaha untuk menyantuni golongan kurang bernasib baik.
Beliau berkata, lima rumah kebajikan anak-anak yatim, asnaf dan tahfiz sekitar Lembah Klang dan Selangor yang menerima sumbangan itu adalah Rumah Bakti Al Kausar Bangi; Pertubuhan Anak Yatim Dan Asnaf An-Naafi Selangor; Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim/Miskin Rukaiyah; Maahad Tahfiz Miftahul Ulum dan Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah.
“Program ini bukan sahaja bertujuan untuk menyampaikan bantuan tetapi sebagai simbol keprihatinan dan kebersamaan dalam menghayati semangat Ramadan.
“Majlis ini memberi peluang kepada kita semua untuk berkongsi rezeki dan kegembiraan terutamanya dalam menyambut kemeriahan Aidilfitri yang bakal tiba.
“LHDN komited dalam memastikan kebajikan rakyat didahulukan dan akan terus berusaha menyantuni golongan memerlukan,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, pengurusan kanan, tetamu jemputan dan warga kerja LHDN.
Sebagai tanda penghargaan, sesi pemberian duit raya turut diadakan bagi semua anak-anak yatim, asnaf dan tahfiz yang hadir.
Dr. Abu Tariq berkata, HASiL berharap penganjuran program itu dapat memperkukuh hubungan dan menjadi inspirasi untuk membawa perubahan positif dalam masyarakat.
“Semoga Ramadan menjadi madrasah untuk meningkatkan keinsafan, memperbanyakkan amalan kebajikan dan menerapkan nilai integriti dalam setiap amanah yang dipikul,” ujarnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |