
Ibu, bapa salah seorang mangsa kemalangan di UiTM Dungun baru tiba di Mekah ketika kejadian
DUNGUN – Ibu dan bapa kepada salah seorang mangsa kemalangan maut melibatkan tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun sedang berada di Mekah ketika menerima berita anak lelaki mereka maut dirempuh sebuan kenderaan utiliti sukan (SUV) semalam.
Menurut Harian Metro, mangsa, Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, merupakan anak kepada Penolong Pengarang Berita BH, Hafizah Iszahanid manakala bapanya, Ku Azmi Saad adalah kakitangan Print Tower Sdn Bhd (PTSB), sebuah syarikat di bawah The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).
Ketika nahas menimpa anak mereka, pasangan itu dalam penerbangan ke Mekah untuk mengerjakan umrah menerusi Program Umrah dan Ziarah 2024, Media Prima Bhd membabitkan 127 peserta daripada kalangan kakitangan dan ahli keluarga.
Pesawat rombongan umrah itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 5.35 petang semalam, dan sampai Jeddah, 9.15 malam tadi (waktu tempatan).
Susulan nahas itu, pasangan tersebut terbang pulang semula ke Kuala Lumpur dan berlepas dari Jeddah pada pukul 1.55 pagi waktu tempatan.
Dalam kemalangan 7.20 malam itu, empat penuntut yang menunggang dua motosikal, dirempuh SUV Honda CRV dipandu seorang wanita.
Semua mangsa menunggang dua motosikal, Yamaha LC 135 dan Y15.
Mangsa maut yang lain ialah Khairil Anuar Jamaluddin, 20, penuntut jurusan Ijazah Perakaunan dan Mohd Akhmal Tukirin, 20, adalah penuntut Ijazah Perhotelan.
Rakan mereka yang parah ialah Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20, sedang dirawat di Hospital Dungun dan akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, untuk rawatan lanjut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi Harian Metro mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Katanya, kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |