
Ibu Allahyarham Nurly Sahirah minta orang ramai jaga adab, elak buat perbuatan syirik di pusara anaknya
JERTIH – Ibu kepada Allahyarham Nurly Sahirah Azman yang terbunuh dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik 9 Jun lalu, meminta orang ramai yang menziarahi pusara anaknya supaya menjaga adab serta tidak melakukan perbuatan syirik dan khurafat.
Kamariah Abdul Latif, 60, berkata, pihak keluarga terpaksa memasang tali penghadang di pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Kerandang di sini bagi mengelakkan perbuatan sedemikian, lapor BERNAMA.
“Kami letak tali itu sebab ada yang datang ambil tanah dan cium batu nisan.
“Saya nasihatkan orang ramai yang datang, jagalah adab ketika berada di kubur dan elakkan perbuatan syirik serta khurafat,” katanya dalam laporan tersebut, hari ini.
Kamariah kemudiannya berkata, pihak keluarga turut memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak mengangkat atau mengusik naskhah al-Quran lengkap tulisan tangan Allahyarham Nurly Sahirah yang diletakkan di pekarangan rumah, bagi mengelakkan kerosakan.
“Saya jaga supaya tiada yang datang membelek helaiannya, selain ada juga yang datang dan mencium al-Quran ini.
“Saya bimbang tulisannya terjejas dan tertanggal. Ini sahaja kenangan yang saya ada,” katanya lagi.
Laporan media sebelum ini menyebut, pihak keluarga terpaksa memasang tali penghadang berikutan kunjungan orang ramai ke pusara berkenaan dengan ada yang dipercayai melakukan tindakan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Allahyarham Nurly Sahirah merupakan antara 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan pada 9 Jun lalu, apabila bas yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di JRTB berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |
One Comment