Berita Semasa

Huzaimah wanita pertama dilantik Ketua Pesuruhjaya Pengakap Perlis

KUALA LUMPUR – Sejarah tercipta apabila Huzaimah Muain, 45, dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Perlis, menjadikannya wanita pertama yang memegang jawatan tersebut.

Huzaimah yang sebelum ini merupakan Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap negeri, menyifatkan pelantikan itu sebagai satu penghormatan dan kepercayaan besar yang diberikan kepadanya untuk menerajui kepimpinan Pengakap di negeri itu.

“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab ini.

“Ini bukan sahaja satu penghargaan, tetapi juga amanah besar untuk memastikan Pengakap di Perlis terus berkembang dan inklusif kepada semua golongan tanpa mengira latar belakang atau jantina,” katanya pada Istiadat Pentauliahan Pesuruhjaya Kanan dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap negeri.

Huzaimah menerima tauliah daripada Ketua Pengakap Negara, Mej. Jen. Prof. Dato’ Dr. Mohd. Zin Bin Bidin dalam satu istiadat semalam di Kuala Lumpur.

Menurut Huzaimah, fokus kepimpinannya adalah untuk memperkukuh nilai-nilai kepemimpinan, semangat berpasukan dan membentuk sahsiah dalam kalangan ahli Pengakap, sekali gus memberi impak positif kepada masyarakat serta negara.

Beliau yang berkhidmat sebagai pegawai di Jabatan Pendidikan negeri Perlis turut menekankan kepentingan pendidikan dalam pergerakan Pengakap, selain berusaha memperkasakan program berbasis komuniti di negeri itu.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada suami dan anak-anaknya yang sentiasa memberi sokongan penuh terhadap penglibatannya dalam pergerakan Pengakap.

“Suami saya sendiri bertugas dalam badan beruniform, jadi dia sangat memahami dan menyokong peranan saya. Anak-anak saya juga aktif dalam Pengakap, jadi mereka turut serta dalam banyak aktiviti yang saya jalankan,” katanya.

Huzaimah mula aktif dalam Pengakap sejak sekolah rendah dan secara serius menyertai kepimpinan Pengakap pada tahun 2009.

Beliau dilantik sebagai Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri pada 2015, kemudian sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap negeri pada 2021 sebelum menjadi Pemangku Ketua Pesuruhjaya pada 2024.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button