BERITA SEMASA

Hutang si mati wajib diselesaikan, jangan sibuk berebut harta pusaka

KUALA LUMPUR – Dalam keghairahan sebahagian masyarakat berebut harta pusaka selepas kematian seseorang, satu aspek penting yang sering dipandang ringan ialah penyelesaian hutang si mati.

Pengarah Komersial Mawarith Integrated Sdn. Bhd., Abdul Hadi Pilus menegaskan, hutang si mati adalah perkara pertama yang wajib diselesaikan oleh waris sebelum sebarang pembahagian harta dibuat.

“Jangan kita sibuk nak berebut harta pusaka, sedangkan hutang si mati pun belum tentu kita urus.

“Kalau kita sayang dia, kita bantu selesaikan apa yang masih tergantung,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Tambah beliau, menurut hukum syarak, segala hutang si mati perlu diselesaikan terlebih dahulu menggunakan harta peninggalannya dan waris tidak berhak menerima bahagian mereka sebelum tanggungjawab itu disempurnakan.

Selepas berlaku kematian, perkara pertama yang perlu diuruskan waris ialah hutang si mati dan pusaka yang ditinggalkan. 

“Tanggungjawab ini biasanya digalas oleh wasi atau pentadbir pusaka yang sah.

“Namun, tanpa perancangan legasi seperti wasiat, hibah atau pelantikan wasi, ramai waris kebingungan malah ada yang terus mengagih harta tanpa mengambil kira hutang yang belum dilunaskan sedangkan ia adalah satu kewajipan,” tegasnya.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Roh seorang Mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga ia dijelaskan bagi pihaknya.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Jelas Abdul Hadi, sekiranya pemiutang tidak dapat dikesan, waris perlu bertindak bijak seperti membuat hebahan awam, menyimpan rekod pencarian dan mengasingkan jumlah berkaitan.

“Jika harta pusaka tidak mencukupi untuk melunaskan hutang, waris tidak wajib menggunakan wang sendiri.

“Namun, jika mereka sudah menerima harta si mati, maka mereka bertanggungjawab memastikan hutang diselesaikan dahulu,” ujarnya.

Beliau memberi contoh jika si mati meninggalkan rumah bernilai RM300,000 dan hutang RM320,000, rumah perlu dijual bagi membayar hutang. Jika tiada baki, waris tidak akan menerima apa-apa.

Abdul Hadi menekankan pentingnya perancangan awal seperti wasiat atau hibah untuk mengelakkan konflik dan mempercepat urusan penyelesaian hutang.

“Orang kita rajin bayar takaful, tapi tak pernah fikir siapa nak lunaskan hutang mereka kalau mereka pergi esok hari,” katanya.

Beliau menutup kenyataan dengan mengingatkan bahawa kematian bukan penamat, tetapi permulaan kepada amanah yang wajib disempurnakan oleh mereka yang masih hidup.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button