BERITA SEMASALUAR NEGARA

Hujan lebat landa Gaza, ancaman banjir tingkatkan risiko hipotermia

GAZA – Situasi di Semenanjung Gaza kian meruncing apabila penduduk setempat terpaksa mengharungi banjir akibat hujan lebat pada musim sejuk, ketika wilayah itu terus berdepan kemusnahan teruk susulan peperangan.

Penduduk terpaksa menolak kenderaan yang terperangkap dalam air banjir di jalan-jalan utama, manakala sebahagian lain menggunakan pedati yang ditarik keldai bagi meredah kawasan dinaiki air.

Banjir turut menenggelamkan khemah dan tempat perlindungan sementara di wilayah Palestin itu yang musnah akibat peperangan, dengan kebanyakan bangunan rosak atau hancur susulan serangan berterusan Israel sejak Oktober 2023.

Kementerian Kesihatan di Gaza yang ditadbir Hamas memaklumkan, seorang bayi lelaki berusia dua minggu, Muhammad Khalil Abu Al-Khair, meninggal dunia akibat hipotermia berpunca daripada cuaca sejuk melampau.

“Bayi berkenaan dimasukkan ke hospital sejak dua hari lalu dan ditempatkan di unit rawatan rapi sebelum disahkan meninggal dunia pada Isnin,” katanya.

Walaupun gencatan senjata yang berkuat kuasa pada Oktober lalu telah melonggarkan sebahagian sekatan ke atas kemasukan barangan dan bantuan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan jumlah bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza masih tidak mencukupi.

Badan dunia itu memaklumkan kira-kira 1.3 juta penduduk kini memerlukan bantuan tempat perlindungan, selain memberi amaran mengenai peningkatan risiko hipotermia, khususnya terhadap bayi yang disifatkan berada dalam keadaan berisiko tinggi.

Ketua Agensi Bantuan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata, hujan lebat dan cuaca sejuk yang dibawa Ribut Byron menyebabkan penduduk Gaza ‘mati kesejukan’, sambil menambah bekalan bantuan PBB telah berbulan-bulan menunggu untuk memasuki wilayah tersebut.

Sementara itu, agensi pertahanan awam Gaza mendedahkan sekurang-kurangnya 16 orang maut dalam tempoh 24 jam lalu akibat runtuhan bangunan dan kesan cuaca sejuk, manakala seorang lagi terbunuh pada Selasa selepas bumbung sebuah bangunan runtuh di barat laut Bandar Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button