Hubungan sejenis punca utama jangkitan HIV di Melaka
MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengenal pasti hubungan seksual, khususnya hubungan sejenis sebagai punca utama jangkitan baharu HIV di negeri berkenaan.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Ruzita Mustaffa berkata, trend tersebut berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini apabila peningkatan kes disumbangkan menerusi perkongsian jarum suntikan, lapor Kosmo.
Bagaimanapun, situasi itu berubah apabila corak pengambilan dadah berubah kepada penggunaan dadah sintetik, menyebabkan risiko jangkitan melalui perkongsian jarum menurun dengan ketara, sekali gus menjadikan faktor hubungan seksual sebagai penyumbang utama jangkitan HIV.
“Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini kita dapat melihat peningkatan jelas jangkitan HIV yang berpunca daripada hubungan seksual, termasuk hubungan sejenis, selari dengan trend di peringkat nasional.
“Golongan yang paling terkesan adalah dalam lingkungan umur 25 hingga 60 tahun, iaitu kumpulan usia bekerja,” katanya.
Ruzita berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Plak dan Sijil Pengiktirafan Sijil Bersih dan Selamat (BeSS) yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri, Datuk Ngwe Hee Sem di Zus Coffee, Bukit Baru di sini hari ini.
Tambah Ruzita, walaupun jumlah kes tidak menunjukkan peningkatan mendadak, perubahan kepada punca jangkitan itu wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak.
“Kini, kebanyakan jangkitan yang dikesan adalah melalui hubungan seksual sama ada membabitkan gay ataupun lesbian, seperti yang turut direkodkan di peringkat nasional,” jelasnya.
“Tapi ingin saya mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat tanggapan melulu kerana tidak semua pesakit HIV dijangkiti akibat tingkah laku berisiko, ada sebahagian mereka yang tidak bersalah, sebab itulah usaha mengurangkan stigma sangat penting,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








