BERITA SEMASA

HRD Corp: KESUMA lantik juruaudit profesional pihak ketiga – Steven Sim

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melantik juruaudit profesional pihak ketiga bagi menjalankan audit bebas ke atas Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).

Menterinya, Steven Sim berkata, langkah tersebut adalah susulan laporan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai operasi HRD Corp dari 2019 hingga 2023.

“Audit bebas akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan kepatuhan terhadap undang-undang serta sebarang garispanduan dalam isu- isu yang dibangkitkan dalam laporan-laporan JAN dan PAC,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 4 Julai lepas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 mengesyorkan Kesuma supaya merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan ekoran kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.

Selain itu, PAC turut mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

Mengulas lanjut, Steven berkata, KESUMA kini dalam proses perolehan untuk melantik juruaudit profesional pihak ketiga dan proses perolehan dijangka selesai selewat-lewatnya pada 31 Julai ini.

Katanya, tempoh masa audit bebas dan tempoh laporan akan dikeluarkan bakal ditentukan sebaik sahaja juruaudit telah dilantik.

“Audit bebas tersebut akan berjalan seiring dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan mana-mana pihak berkuasa lain. HRD Corp telah diarahkan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak yang berkaitan,” ujarnya lagi.

Tambah Steven, satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud telah ditubuhkan bagi memudahcara siasatan yang sedang berjalan, meneliti laporan JAN, PAC, dan SPRM serta audit bebas.

“Pasukan petugas khas ini seterusnya akan memastikan tindakan susulan termasuk penambahbaikan dilaksanakan dengan sepenuhnya,” jelas Steven lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button