
Hospital KPJ Kuala Selangor kini beroperasi secara rasmi
KUALA SELANGOR – KPJ Healthcare Berhad terus memperluas jaringannya dalam industri penjagaan kesihatan apabila secara rasmi melancarkan hospital miliknya yang ke-30, iaitu Hospital Pakar KPJ Kuala Selangor (KPJKS) dalam satu majlis yang berlangsung di sini semalam.
Majlis pelancaran KPJKS disempurnakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bersama Pengerusi KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Ismail Bakar serta ahli Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan kanan syarikat itu.
Menurut Dr. Dzulkefly, pembinaan hospital tersebut amat penting dalam memenuhi keperluan kesihatan penduduk yang kian meningkat, iaitu dengan hampir 300,000 populasi hari ini.
Beliau berkata, daerah Kuala Selangor sebelum ini kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan pakar swasta, maka pelaburan strategik ini bukan sahaja merapatkan jurang, tetapi juga memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih seimbang antara bandar dan luar bandar.
Tambah beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengalu-alukan kerjasama sektor swasta yang mendokong usaha reformasi kesihatan nasional demi sistem kesihatan yang lebih responsif, inklusif dan berpaksikan nilai ihsan.
“Tahniah kepada KPJ Healthcare Berhad atas pelancaran rasmi KPJ Kuala Selangor Specialist Hospital, hospital ke-30 dalam rangkaian KPJ, dan satu mercu tanda baharu untuk daerah Kuala Selangor,” kata Dr. Dzulkefly dalam satu hantaran di Facebook milik beliau semalam.
Beroperasi sejak 22 Mac, KPJKS dilengkapi 60 katil dengan 14 pakar perunding tetap dan 8 pakar perunding sambilan, dibantu 188 kakitangan yang terdiri daripada pakar perubatan, jururawat, profesional kesihatan bersekutu dan staf sokongan.
KPJKS menawarkan perkhidmatan merangkumi pelbagai disiplin termasuk perubatan dalaman, pembedahan am, ortpedik, pediatrik, obstetik dan ginekologi, telinga, hidung dan tekak (ENT), radiologi, anestesiologi, gastroenterologi dan hepatologi.
Fasiliti ini juga lengkap dengan infrastruktur diagnostik dan rawatan terkini, termasuk sistem MRI 1.5 Tesla, pengimbas CT 160-slice, mamografi digital serta Sistem Super Inductive (SIS).
Dengan hospital tersebut, KPJKS bukan sahaja memperluas jaringan KPJ Healthcare, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam penjagaan kesihatan komuniti Kuala Selangor.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |