BERITA SEMASADALAM NEGERI

‘Homestay’ haram diurus warga asing diserbu, 13 ditahan

KUALA LUMPUR – Tawaran homestay haram oleh warga asing yang dipercayai semakin berleluasa di ibu negara terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu dua lokasi panas di sekitar Jalan Ipoh dan Jalan Sultan Ismail, di sini kelmarin.

Serbuan khas yang dijalankan pada pukul 2.57 petang itu melibatkan pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama dua minggu serta maklumat awam.

Seorang anggota penguatkuasa JIM menyoal siasat warga asing yang terlibat.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Imigresen, Ismail Mokhtar berkata, seramai 13 individu warga asing berjaya ditahan dalam operasi tersebut.

“Mereka terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh, seorang lelaki Indonesia, seorang wanita India dan seorang wanita Filipina berusia antara 24 hingga 40 tahun.

“Kesemua mereka dipercayai bertindak sebagai ejen yang menguruskan penginapan harian jenis homestay.

BACA : Imigresen serbu penempatan di Hentian Kajang, tahan 288 PATI 

“Sebahagian daripada mereka memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di bawah sektor pembinaan dan pembersihan, namun disalah guna untuk menjalankan aktiviti pelancongan tanpa kebenaran sah.

“Selebihnya tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” kata Ismail dalam satu kenyataan.

Antara barangan yang disita termasuk salinan perjanjian sewa, pasport, kad akses, komputer riba, telefon bimbit, borang maklumat pelanggan homestay, wang tunai RM74,000 dan AS$2,160 (RM9,161).

Tambah beliau, modus operandi sindiket itu ialah menyewa unit kediaman daripada pemilik tempatan dan menawarkannya sebagai homestay menerusi platform dalam talian, dengan caj antara RM80 hingga RM400 satu malam, bergantung kepada saiz bilik.

Aktiviti itu dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu.

Enam warga asing yang memiliki PLKS disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala selebihnya disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

BACA : Imigresen nafi dakwaan 1.2 juta pelawat China tidak keluar dari Malaysia 

Sementara itu, enam rakyat tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh turut diberi notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

JIM menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pelanggaran undang-undang imigresen, termasuk di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button