Berita Semasa

Hina Nabi Muhammad: Ainon Mohd mohon maaf

KUALA LUMPUR – Penulis buku kontroversi, Ainon Mohd memohon maaf atas hantaran di laman Facebooknya yang mendakwa Nabi Muhammad mengamalkan nepotisme dan kronisme.

Permohonan maaf itu dimuat naik olehnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

“Saya, Ainon Mohd, dengan penuh rasa hormat menerima teguran dan pandangan yang telah disampaikan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam pertemuan yang berlangsung hari ini.

“Saya juga akur dengan nasihat yang diberikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor dalam perkara ini.

“Sehubungan dengan itu, saya telah menurunkan hantaran berkenaan dari platform media sosial dan ingin memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan.

“Saya memahami kepentingan untuk lebih berhati-hati dalam berkongsi kandungan berkaitan Islam dan akan memastikan rujukan dibuat kepada pihak yang berautoriti sebelum menerbitkan sebarang penulisan di masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, dia mengadakan pertemuan bersama JAKIM selepas dipanggil oleh agensi agama itu susulan hantaran kontroversi dalam laman media sosial kelmarin.

Dalam pada itu dia turut memberikan komitmen kepada pihak berkuasa untuk memperkemas dan memperhalusi polisi penerbitan di media sosial.

“Merujuk pakar bidang dalam isu-isu sensitif berkaitan nabi. Menurunkan kandungan media sosial lain yang boleh dianggap sensitif.

“Dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa atas apa-apa isu berbangkit sebelum ini,” katanya.

Sementara itu dia turut menghormati usaha JAKIM dalam memelihara kesucian agama Islam dan menjunjung tinggi kemuliaan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Sebagai seorang yang bergiat dalam bidang penerbitan, saya sentiasa menyokong usaha dakwah dan pendidikan yang membina kefahaman Islam dengan penuh adab dan tanggungjawab.

“Saya berjanji akan lebih berhati-hati dalam sebarang penulisan dan perkongsian di masa akan datang serta sentiasa merujuk kepada pihak yang lebih berautoriti dalam hal-hal berkaitan agama,” katanya.

Sekali lagi, saya memohon maaf atas kekhilafan yang berlaku dan menghargai teguran serta nasihat yang diberikan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button