Berita SemasaLuar Negara

Hina institusi raja : Pensyarah AS ditahan di Thailand

PHITSANULOK (THAILAND) – Seorang pensyarah warga Amerika Syarikat ditahan pihak berkuasa negara ini selepas didakwa menghina institusi diraja – satu kesalahan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun.

Paul Chambers, 58, yang mengajar dalam kursus Sains Politik di Universiti Naresuan di wilayah utara Thailand ditahan pada Selasa lalu dan dihadapkan ke mahkamah wilayah ini.

Permohonan ikat jamin beliau bagaimanapun ditolak oleh mahkamah susulan pertuduhan di bawah Akta Lese Majeste Thailand serta Akta Jenayah Komputer yang turut mengawal selia kandungan dalam talian.

Difahamkan, Chambers, yang memiliki Ijazah Kedoktoran dari Northern Illinois University telah menetap dan mengajar di Thailand sejak lebih sedekad.

Beliau juga dikenali sebagai penyelidik yang banyak mengkaji pengaruh tentera dalam landskap politik Thailand yang menyaksikan berlakunya 13 kali rampasan kuasa sejak 1932, termasuk yang terbaru pada tahun 2014.

Menurut kumpulan hak akademik berpusat di Amerika Syarikat, Scholars at Risk, pertuduhan ke atas Chambers dipercayai berkait dengan kenyataan yang dibuatnya dalam satu webinar pada 2024 yang membincangkan soal penstrukturan semula tentera.

Isteri Chambers, Prof Dr Napisa Waitoolkiat, yang juga dekan Fakulti Sains Sosial di universiti sama, menafikan dakwaan bahawa kata-kata yang dijadikan bukti dalam pertuduhan itu datang daripada suaminya.

Beliau mendakwa pihak berkuasa merujuk kepada keterangan yang diambil daripada laman Institut ISEAS-Yusof Ishak yang berpangkalan di Singapura – penganjur webinar berkenaan.

“Saya rasa seolah-olah mereka mahu menghalang Paul daripada terus menjalankan kajian beliau, khususnya yang menyentuh soal ekonomi tentera Thailand,” katanya memetik agensi berita Associated Press.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button