
‘Mencari Ramlee’ gegar Pulau Pinang, semangat P. Ramlee menyatukan rakyat Malaysia
GEORGE TOWN – Suasana penuh emosi dan penghargaan menyelubungi tayangan perdana filem Mencari Ramlee yang berlangsung di GSC Gurney Plaza malam semalam, apabila karya arahan Megat Sharizal itu ‘dibawa pulang’ ke negeri kelahiran seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Pulau Pinang menjadi pilihan simbolik sebagai lokasi pelancaran istimewa filem berkenaan, dalam usaha menyemarakkan semula semangat seni, kasih sayang dan perpaduan yang menjadi nadi dalam setiap karya seniman legenda tersebut.
Turut hadir, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid yang menyampaikan ucapan menyentuh hati, menyifatkan filem itu sebagai satu penghormatan terhadap nilai dan warisan seni yang ditinggalkan oleh P. Ramlee.
“Malam ini bukan sekadar tayangan filem. Ini adalah peringatan siapa kita sebagai rakyat Malaysia.
“Mencari Ramlee bukan hanya mencari seorang insan, tetapi mencari semangat perpaduan, empati, ketawa dan kasih sayang, nilai yang P. Ramlee hidupkan dalam setiap babak dan lagu,” katanya semalam.
Syerleena turut berkongsi kisah peribadi bersama pengarah Megat Sharizal, yang sudah menyimpan impian menghidupkan karya itu sejak sekian lama.
“Beberapa tahun lalu, selepas lebih 10 tahun tidak berjumpa, Megat berkata dia mahu buat filem ini.
“Saya terus kata, kalau kau buat, kita kena tayang di Penang. Kita kena bawa balik ke rumah.
“Hari ini, kita ada di sini, menyaksikan impian itu menjadi kenyataan,” katanya lagi.
Malam tayangan perdana itu turut diserikan dengan kehadiran pelakon-pelakon utama seperti Tony Eusoff, Sofia Jane dan Mimi Lana yang tampil memukau dengan lakonan yang menyentuh jiwa.
Penonton yang hadir memberikan tepukan gemuruh sejurus selesai tayangan, ramai yang mengakui filem itu bukan sahaja menyentuh emosi, malah membangkitkan rasa bangga terhadap seni tempatan.
Syerleena turut menegaskan komitmennya untuk terus menyokong industri kreatif tanah air, dengan menyifatkan seni sebagai komponen penting dalam identiti dan kesejahteraan negara.
“Industri kreatif bukan kemewahan, ia adalah denyut nadi negara kita.
“Saya akan terus sokong bukan sekadar dengan kata-kata, tetapi melalui tindakan,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menyokong filem itu apabila ia mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 19 Jun 2025.
“Ajaklah keluarga dan rakan-rakan ke pawagam. Cerita kita berhak untuk ditonton, dihargai dan diraikan,” katanya lagi.
Filem Mencari Ramlee bakal menemui penonton di seluruh negara bermula 19 Jun ini.
Jangan lepaskan peluang merasai semula semangat seni agung yang menyatukan rakyat Malaysia.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |