BERITA SEMASALUAR NEGARA

Hezbollah jadi sasaran Israel di Kafr Hatta, amaran keselamatan dikeluarkan

JERUSALEM – Tentera haram Israel mengeluarkan amaran pemindahan kepada penduduk kampung Kafr Hatta di selatan Lubnan menjelang serangan udara yang disasar ke atas infrastruktur Hezbollah di kawasan itu.

Jurucakap tentera Israel, Kolonel Avichay Adraee menyatakan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) akan menyerang sasaran ketenteraan Hezbollah di Kafr Hatta bagi mengekang usaha kumpulan itu membina semula aktiviti ketenteraannya.

Beliau turut memuat naik peta lokasi sasaran melalui platform X dan menekankan kepentingan penduduk meninggalkan kawasan tersebut demi keselamatan.

“Penduduk yang berada berhampiran kompleks milik Hezbollah mesti berpindah sekurang-kurangnya 300 meter. Kekal di kawasan itu akan membahayakan nyawa,” menurut amaran yang dikeluarkan.

Tentera Lubnan sebelum ini mengumumkan fasa pertama pelucutan senjata Hezbollah di selatan Sungai Litani telah diselesaikan.

Semalam, IDF turut melancarkan serangan ke atas beberapa lokasi lain di selatan Lubnan sebagai tindak balas terhadap ‘pelanggaran berterusan Hezbollah terhadap persefahaman gencatan senjata’.

Sementara itu, agensi berita rasmi Lubnan, National News Agency, melaporkan siri serangan udara di Jezzine, Mahmudiyeh, Al-Dimasqiyeh dan lebih 10 serangan di Al-Bureij namun tiada kematian dilaporkan.

Di tengah tekanan Amerika Syarikat dan kebimbangan serangan Israel yang lebih meluas, Lubnan berikrar untuk melucutkan senjata Hezbollah yang disokong Iran dan dilaporkan lemah selepas konflik setahun termasuk perang penuh dua bulan yang berakhir dengan gencatan senjata November 2024.

Tentera Lubnan menyifatkan fasa pertama pelan pelucutan senjata sebagai berjaya merangkumi kawasan selatan Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel, dengan rancangan untuk memperluasnya ke seluruh negara.

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan perjanjian gencatan senjata menuntut Hezbollah dilucutkan senjata sepenuhnya.

“Usaha Lubnan adalah permulaan positif, tetapi masih jauh daripada mencukupi memandangkan usaha Hezbollah menambah kekuatan senjata dengan sokongan Iran,” kata kenyataan rasmi.

Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa, Israel terus melaksanakan serangan berkala di Lubnan, menumpukan pada tapak anggota Hezbollah, serta mengekalkan kehadiran di lima kawasan strategik di selatan negara itu.

Israel juga mendakwa pernah menyerang sasaran Hamas di Lubnan beberapa kali.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button