BERITA SEMASADALAM NEGERI

HBK perkasa komuniti Air Kuning melalui Perkhidmatan Pintar NADI

TAPAH – Penganjuran program Hari Bersama Komuniti (HBK) yang berlangsung di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning di sini hari ini, membuka peluang kepada masyarakat setempat untuk lebih memahami manfaat Perkhidmatan Pintar NADI dalam memperkasakan komuniti digital secara inklusif.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, program itu merupakan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperluas capaian Internet, memperkukuh akses kepada maklumat serta mempertingkat kemahiran digital masyarakat luar bandar.

Fahmi bergambar bersama anak-anak penduduk setempat yang menyertai program HBK tersebut.

Menurut beliau, pelaksanaan program seumpama itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan tidak ada golongan yang tercicir dalam arus pendigitalan negara.

“Kita mahu setiap komuniti, walau di mana pun mereka berada menikmati akses kepada teknologi dan kemudahan digital.

“Melalui program seperti NADI ini, kita bukan sahaja mendekatkan rakyat dengan teknologi, tetapi juga memperkukuh asas ekonomi dan kesejahteraan sosial mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.

Program HBK turut mengetengahkan pelbagai aktiviti interaktif seperti promosi perkhidmatan pintar NADI yang merangkumi lima teras utama, pendaftaran ahli baharu NADI, sesi taklimat Internet Selamat dan bimbingan keusahawanan melalui modul NADIpreneur dan EmpowerHER.

Saringan kesihatan percuma turut disediakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan.

Pelbagai program dilaksanakan termasuk saringan kesihatan untuk manfaat penduduk di kawasan tersebut.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati tawaran barangan pada harga berpatutan menerusi Jualan Rahmah Madani anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jualan Agro Madani oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Antara yang mencuri tumpuan adalah pertandingan e-Sukan persahabatan Mobile Legends yang melibatkan penyertaan komuniti NADI Air Kuning dan NADI PPR Sri Bidor yang berjaya menarik minat golongan belia setempat.

Program HBK dijangka terus diperluas ke lebih banyak lokasi di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menjadikan rakyat Malaysia celik digital dan berdaya saing dalam landskap ekonomi moden.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button