Hasrat bantu mangsa kemalangan bertukar tragedi
JOHOR BAHRU – Niat murni seorang lelaki untuk membantu mangsa kemalangan bertukar tragedi apabila dia maut dalam satu nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer 1.6, Lebuhraya Utara-Selatan arah ke pusat bandar, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.25 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dikatakan dalam perjalanan dari Kempas menuju ke Johor Bahru sebelum hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh di lorong kanan lebuh raya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintenden Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, sejurus selepas itu, seorang lagi penunggang motosikal Yamaha XMAX berusia 33 tahun serta seorang pemandu kereta Toyota Vios berhenti di lokasi kejadian bagi memberikan bantuan kepada mangsa.
“Namun, kereta Toyota Vios yang berhenti di lorong tengah telah dirempuh dari arah belakang oleh sebuah Honda City.
“Ketika kedua-dua pemandu kereta cuba mengalihkan kenderaan masing-masing ke hadapan bagi mengelakkan kemalangan lanjutan, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Subaru Impreza yang dipandu seorang lelaki warga Singapura gagal mengelak lalu merempuh mangsa yang terbaring di atas jalan,” katanya
Tambah beliau, rempuhan itu turut mengakibatkan penunggang Yamaha XMAX cedera parah dengan patah kaki kanan, manakala kesemua pemandu kereta yang terlibat tidak mengalami kecederaan serius.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera kini dirawat di Zon Kuning hospital sama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






