
LHDN, CTIM meterai MoU perkukuh pendidikan dan pematuhan percukaian
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan, penyelidikan serta pematuhan percukaian negara.
Majlis pemeteraian yang berlangsung di Menara LHDN, Cyberjaya, disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin dan Presiden CTIM, Soh Lian Seng mewakili pengurusan tertinggi kedua-dua organisasi.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, MoU tersebut menandakan permulaan kepada sinergi jangka panjang antara dua agensi utama percukaian negara dalam menyokong sistem percukaian yang lebih telus, berintegriti dan progresif.
Katanya dalam kenyataan hari ini, antara skop utama yang dipersetujui termasuk pelaksanaan inisiatif pendidikan percukaian yang menyasarkan pelbagai kumpulan termasuk golongan profesional, pemain industri serta masyarakat umum.
“Usaha ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai tanggungjawab percukaian sekali gus memupuk budaya pematuhan sukarela yang mampan dan beretika,” jelas kenyataan itu.
Datuk Dr Abu Tariq dalam ucapannya berkata, kerjasama rentas sektor seperti itu amat penting dalam menghadapi cabaran ekonomi global dan era digitalisasi.
“MoU ini menjadi platform penting untuk menyatukan kepakaran, pengalaman dan sumber daya HASiL dan CTIM dalam memperkukuh sistem percukaian negara secara menyeluruh,” katanya.
Sementara itu, Soh Lian Seng berkata, kerjasama ini membuka ruang untuk CTIM menyumbang dalam pelbagai aspek teknikal dan operasi seperti sistem penilaian kendiri, audit dan siasatan, cukai minimum global, e-Invois, pemindahan harga dan duti setem.
“Kerjasama strategik ini penting bagi memastikan sistem percukaian negara kekal adil dan efisien,” katanya.
Selain pendidikan, menurut kenyataan itu lagi, MoU ini turut merangkumi bidang penyelidikan seperti kajian dasar fiskal, tingkah laku pematuhan cukai serta impak perubahan dasar terhadap ekonomi dan masyarakat.
“Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan melaksanakan penyelidikan yang berpandangan jauh dan praktikal selain merangka penyelesaian terhadap cabaran percukaian semasa,” katanya.
Kerjasama itu turut merangkumi pelaksanaan program pembangunan kapasiti seperti seminar, bengkel dan latihan yang memberi pendedahan terkini mengenai perundangan serta peraturan percukaian kepada pihak industri dan masyarakat umum.
MoU tersebut turut menekankan peranan CTIM sebagai saluran penting dalam menyalurkan maklum balas industri terhadap pelaksanaan dasar percukaian sedia ada.
Menurut kenyataan itu, melalui kepakaran profesional CTIM, LHDN akan dapat memperkukuh operasi dan membina sistem cukai yang lebih inklusif, saksama dan mesra pembayar cukai.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) LHDN, Khairul Halimin Abdul Halim; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), Shaharrudy Othman; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Dasar), Norfaidah Daud; serta Timbalan Presiden CTIM, Alan Ch’ung Yit.
Secara keseluruhan, katanya, pemeteraian MoU ini diharap membuka ruang kepada lebih banyak inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat bukan sahaja kepada kedua-dua pihak, malah kepada rakyat, komuniti perniagaan dan ekonomi negara secara keseluruhan.
Sebarang pertanyaan atau maklum balas boleh dikemukakan melalui Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1000 (luar negara), HASiL Live Chat, atau borang maklum balas di portal rasmi HASiL menerusi pautan: https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |