Berita Semasa

Harimau dipercayai baham 2 lelaki di Jeli dan Gerik masuk perangkap

IPOH – Seekor harimau belang yang dipercayai membaham dua mangsa masing-masing di Bersia, Gerik serta Batu Melintang, Jeli, Kelantan baru-baru ini berjaya ditangkap.

Memetik laporan BH Online, Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff berkata, haiwan berkenaan memasuki perangkap yang dipasang pihaknya.

Bagaimanapun, katanya, maklumat lanjut berkaitan tangkapan itu akan diberikan oleh Pengarah PERHILITAN Kelantan dalam masa terdekat memandangkan tangkapan dilakukan di Jeli, Kelantan.

“Ya, dapat (tangkapan) di sebelah Jeli. Jadi, Pengarah PERHILITAN Kelantan yang akan memberikan maklumat lanjut,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Yusoff berkata, PERHILITAN Perak dan Kelantan bekerjasama bagi memasang perangkap di lokasi di kenal pasti bagi menangkap harimau yang disyaki membaham dua mangsa terbabit.

Beliau berkata, pihaknya melihat kemungkinan harimau yang menyerang kedua-dua mangsa adalah haiwan sama berikutan lokasi dua kejadian itu terletak saling berhampiran kira-kira empat kilometer (KM) melalui Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli selain insiden berlaku dalam tempoh terdekat.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pemandu jentera berat, Adnan Ismail, 54, maut selepas diserang harimau di luar rumah kongsinya di Bagan Balak, Kilometer 79.2, JRTB Gerik-Jeli pada Selasa lalu.

Mayat lelaki itu dijumpai kira-kira 100 meter dari rumah kongsi dengan kesan kecederaan parah di leher dan kaki kiri.

Sementara itu, lelaki warga Myanmar menjadi mangsa kedua apabila ditemui maut dalam keadaan mengerikan dengan paha kiri terputus selepas dipercayai diserang harimau ketika berada di belakang sebuah rumah kongsi di ladang cili di Batu 18, JRTB Jeli-Gerik, Khamis lalu.

Mangsa yang berusia 34 tahun itu dijumpai di dalam kawasan hutan kira-kira jam 9.15 pagi selepas rakannya terdengar bunyi harimau mengaum berdekatan ladang berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button