Kesan tapak kaki harimau dikesan di Kampung Renyuk
JELI – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menasihatkan penduduk Kampung Renyuk, di sini supaya berhati-hati dan tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan dengan haiwan liar seperti harimau.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima laporan daripada penduduk kampung pada 14 Mei lalu mengenai penemuan kesan tapak kaki dipercayai milik harimau di kawasan hutan berhampiran penempatan mereka.
“Sepasukan anggota Perhilitan telah dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut serta menilai keperluan memasang perangkap atau kamera pengesan di kawasan tersebut.
“Buat masa ini, fokus utama kami adalah untuk mengesahkan spesies haiwan yang meninggalkan kesan tapak kaki itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, penduduk dinasihatkan agar tidak panik, sebaliknya segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat kelibat haiwan liar di kawasan mereka.
“Kami mengingatkan tindakan individu menangkap, mengganggu atau mendekati haiwan liar bukan sahaja berbahaya kepada diri sendiri malah melanggar undang-undang yang termaktub dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” tegas beliau.
Sejak awal minggu, tular gambar kesan tapak kaki dipercayai harimau sebesar tapak tangan dewasa di media sosial.
Penemuan itu menimbulkan kebimbangan penduduk Kampung Renyuk hingga ada yang enggan ke kebun demi keselamatan.
Perhilitan memaklumkan akan terus memantau situasi dan bekerjasama dengan penduduk setempat bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








