BERITA SEMASAPMX

Hari Wilayah 2025: PM ucap tahniah kepada 32 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan tahniah kepada semua penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 yang berlangsung hari ini.

Dalam satu kenyataan, Anwar berharap agar kesemua penerima dapat terus berkhidmat dengan sepenuh hati serta beriltizam untuk memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara.

“Sekalung tahniah diucapkan kepada para penerima, moga terus berbakti sepenuh hati dan bulatkan iltizam kepada agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook milik beliau.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan hadir ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan yang disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di Balairung Seri, Istana Negara hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, merupakan antara 32 individu yang dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan tersebut.

Dr Zaliha dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Noridah Abdul Rahim yang mendahului senarai penerima masing-masing dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sementara itu, Fahmi mengetuai senarai sembilan individu yang menerima Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW), yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerima PMW yang lain adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua PegawaiEksekutif Lembaga Tabung Haji Syed Hamadah Syed Othman, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Penasihat Undang-Undang Istana Negara Zulharry Abdul Rashid.

Selain itu, enam individu dianugerahkan Darjah Johan Mahkota Wilayah (JMW), lima individu menerima Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), empat individu dianugerahkan Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan enam individu menerima pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button