BERITA SEMASA

Hari TLDM 2025: Armada diperkasa, kedaulatan negara terjamin

LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus memperkukuh kesiapsiagaan armada negara sejajar dengan cabaran keselamatan serantau, selaras dengan tema sambutan Hari TLDM 2025, ‘TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara.’

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, kekuatan angkatan laut negara bukan sahaja bergantung kepada kecanggihan aset, malah turut didukung semangat, disiplin dan integriti seluruh warganya.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob

Beliau berkata, dengan kesiapsiagaan operasi yang mantap serta kepimpinan yang berwibawa, kedaulatan negara dapat terus dipertahankan daripada sebarang ancaman.

“TLDM sedang melaksanakan perancangan pembaharuan aset tempur, termasuk projek Littoral Combat Ship (LCS), Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) dan Fast Interceptor Craft (FIC),” katanya.

Beliau berkata, program naik taraf pertengahan hayat kapal selam negara juga dirancang bagi memastikan aset strategik berkenaan kekal relevan dan berupaya mempertahankan negara dari bawah permukaan.

Selain itu, katanya, pembangunan dokumen strategik seperti Buku Rujukan Laut 1 dan Strategi Domain Maritim penting bagi memperkukuhkan hala tuju transformasi TLDM.

Dalam masa sama, Abdul Rahman menegaskan kebajikan warga TLDM sentiasa diberi perhatian, merangkumi projek perumahan, kemudahan asas dan pelbagai insentif kesejahteraan.

Beliau turut mengingatkan seluruh anggota agar menjauhi salah laku seperti penyalahgunaan dadah, pecah amanah dan ketidakhadiran tanpa cuti, sambil memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan.

Pada masa sama, beliau melahirkan rasa bangga atas pencapaian TLDM dalam bidang sukan, termasuk mengekalkan kejuaraan Kejohanan Antara Perkhidmatan (ISG ATM) selama 15 tahun berturut-turut.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, Kementerian Pertahanan, agensi keselamatan, veteran, industri pertahanan, media serta rakyat Malaysia atas sokongan berterusan terhadap TLDM.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru warga TLDM untuk terus memperkasa armada demi mempertahankan kedaulatan negara.

“TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara. Sedia Berkorban!” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button