BERITA SEMASADALAM NEGERI

Hari Rumput Laut Sedunia 2025: JETAMA kukuh peranan pulihara ekosistem karbon biru

SEMPORNA – Projek Penanaman Rumput Laut telah dilaksanakan oleh JETAMA Sdn Bhd (JETAMA) melalui insiatif di bawah Bahagian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bersama Persatuan Pelancongan Semporna, Dive Master Association dan masyarakat setempat di Pulau Bohayan, di sini.

Ia merupakan satu usaha bagi mengukuhkan komitmen JETAMA dalam memulihara ekosistem marin.

Ketua Pegawai Eksekutif JETAMA, Datuk Ahmad Naim Uddang berkata, projek berkenaan dilaksanakan pada 1 Mac (semalam) bersempena Hari Rumput Laut Sedunia.

Anak-anak rumput ditanam di atas plot bagi memastikan ia kukuh dan tumbuh subur.

“Aktiviti penanaman rumput laut ini merupakan kesinambungan inisiatif syarikat bagi menyahut seruan kerajaan negeri Sabah dalam memelihara ekosistem karbon biru yang selaras dengan Halatuju Sabah Maju Jaya.

“Projek ini merupakan kesinambungan daripada Program Penanaman Rumput Laut JETAMA yang dilaksanakan di Pulau Sepangar pada September lepas.

“JETAMA akan terus komited memperkukuhkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar melalui projek-projek penanaman rumput laut agar ia dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada industri pelancongan, komuniti maritim tetapi juga akan menyumbang kepada usaha global dalam mengurangkan karbon dioksida dan mengekalkan keseimbangan ekosistem laut,” ujarnya.

Beberapa peserta memasang net untuk dijadikan plot penanaman rumput.

Rumput laut memainkan peranan penting dalam memerangkap karbon biru dengan keupayaan menyerap dan menyimpan karbon dioksida dari atmosfera serta perairan pesisir pantai lebih efektif daripada hutan daratan.

Selain itu, ia juga memberi manfaat sebagai sokongan kestabilan ekosistem marin dengan menapis air laut dan mengurangkan hakisan pantai.

Namun, rumput laut kini terancam akibat pembangunan pesisir, pencemaran, dan aktiviti perikanan berlebihan.

Oleh itu, usaha pemuliharaan amat penting kerana ia turut menjadi habitat utama bagi hidupan laut seperti ikan, penyu dan hidupan makro marin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button