Berita Semasa

Hari Polis ke-218: Agong titip penghargaan kepada PDRM atas dedikasi, pengorbanan

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di atas pengorbanan dan dedikasi mereka dalam memastikan keamanan serta kesejahteraan negara.

Seri Paduka Baginda yang juga Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat PDRM bertitah, tanpa mengira waktu, anggota PDRM sebagai pasukan keselamatan berdiri di barisan hadapan negara.

Titah Baginda, anggota PDRM turut mempertaruhkan keselamatan dan nyawa demi menjaga ketenteraman awam, menguatkuasakan undang-undang serta melindungi rakyat daripada ancaman jenayah.

“Penugasan ini bukannya mudah, namun dilaksanakan dengan penuh dedikasi, keberanian serta kesungguhan.

“Rakyat menghargai segala usaha dan jasa warga PDRM yang berkhidmat tanpa mengira siang dan malam.

“Saya berdoa kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga seluruh warga PDRM terus diberikan kekuatan dan keselamatan dalam setiap tugas yang dipikul,” titah Baginda sempena Hari Polis ke-218 hari ini.

Sultan Ibrahim juga menghargai sumbangan serta jasa pesara-pesara PDRM yang turut berkhidmat mencurahkan sumbangan mereka dalam menjaga kesejahteraan rakyat.

“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada.

“Selamat menyambut Hari Polis Ke-218 kepada seluruh warga PDRM dan para veteran,” titah Baginda lgi.

Sambutan Hari Polis pada tahun ini masih mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button