Misi pencarian Mohd Noor diteruskan tanpa petunjuk baharu
KUALA TERENGGANU — Usaha mengesan seorang lelaki yang dilaporkan hilang di perairan negeri ini sejak seminggu lalu belum membuahkan hasil, meskipun operasi pencarian giat diteruskan oleh pihak berkuasa.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa, Mohd Noor bin Abdullah, 54, diteruskan meliputi kawasan perairan selatan Pulau Bidong sehingga ke Pulau Yu.
Katanya, operasi hari keenam diteruskan seawal pukul 7 pagi tadi melibatkan dua aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Bot Pengawal 16 dan Kapal Maritim (KM) RAWA.
“Setakat semalam, masih tiada sebarang penemuan atau perkembangan baharu yang boleh membantu mengesan mangsa.
“Fokus pencarian hari ini membabitkan kawasan seluas 121.8 batu nautika persegi, meliputi perairan selatan Pulau Bidong hingga ke Pulau Yu,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, aspek keselamatan laut diberi penekanan susulan tiga insiden kemalangan maritim yang dilaporkan dalam tempoh seminggu lalu di kawasan perairan negeri itu.
“Antara langkah keselamatan yang digariskan termasuklah pemakaian jaket keselamatan, memastikan bot dalam keadaan baik, menyemak ramalan kaji cuaca, serta memaklumkan pergerakan kepada ahli keluarga sebelum ke laut.
“Kami menyeru masyarakat, khususnya komuniti nelayan dan penduduk pesisir agar segera menyalurkan sebarang maklumat atau petunjuk yang boleh membantu mempercepatkan pencarian Mohd Noor.” ujarnya.
Setakat ini, operasi masih diteruskan tanpa henti dengan pemantauan berkala dari laut dan udara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




