BERITA SEMASA

Hari Kebangsaan: Fahmi terharu Agong, Permaisuri cemar duli santuni rakyat

PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menzahirkan rasa terharu apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli bertemu rakyat di luar atur cara untuk bertanya khabar kepada rakyat selepas Majlis Hari Kebangsaan 2023, di sini, hari ini.

Menurut Fahmi, beliau menyifatkan detik tersebut merupakan momen paling menarik bagi sambutan Hari Kebangsaan yang pertama dalam era pemerintahan Kerajaan Perpaduan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

“Detik paling menarik tadi apabila KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sepatutnya dijadualkan pulang, namun Tuanku memilih untuk mencemar duli turun bertemu dan beramah mesra dengan rakyat,” ujarnya.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menyantuni rakyat pelbagai kaum yang hadir pada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya hari ini. – Foto Mim Fadlizal

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023, berkata, Hari Kebangsaan 2023 disambut meriah dengan penglibatan lebih 17,000 peserta yang mengambil bahagian dalam acara tahunan tersebut.

Beliau juga mengucapkan syabas kepada semua pihak yang bertungkus-lumus dalam menjayakan sambutan Hari Kebangsaan hari ini.

“Saya merakamkan penghargaan buat seluruh pasukan yang terlibat menjayakan sambutan hari ini.

“Saya yakin 17,000 peserta yang menyertai acara perbarisan cukup gembira apabila persembahan mereka ditonton oleh lebih 100,000 pengunjung di Dataran Putrajaya.

“Saya dimaklumkan, pengunjung telah mula tunggu seawal 7 malam semalam. Luar biasa,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Peserta Hari Kebangsaan 2023 melakukan persembahan di Dataran Putrajaya hari ini. – Foto Mim Fadlizal

Beliau berharap kemeriahan dan keceriaan sama akan dikekalkan 16 hari daripada sekarang untuk rakyat Malaysia sekali lagi menyambut detik bersejarah Hari Malaysia.

“Sambutan hari ini telah tamat, tapi kita masih ada lagi beberapa acara lain. Selepas ini, kita ada Kembara Kenali Borneo dan diakhiri dengan Sambutan Hari Malaysia.

“Kepada semua rakyat Malaysia, teruskan kibar Jalur Gemilang. Malaysia milik kita semua,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button