BERITA SEMASA

Hari Harta Intelek Negara: MyIPO tawar diskaun 50 peratus permohonan hak cipta – Armizan

KUALA LUMPUR – Sempena Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2025, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menawarkan pengurangan fi sebanyak 50 peratus bagi Permohonan Pemberitahuan Sukarela Hak Cipta untuk tempoh enam bulan bermula Sabtu ini.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, pengurangan itu meliputi untuk karya muzik, rakaman bunyi serta karya berkaitan muzik yang dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987.

“Bagi tahun 2025, tema ‘Muzik Kita, Milik Kita’ dipilih bagi mengangkat kepentingan pendaftaran hak cipta dalam industri muzik tempatan.

“Rasional kepada tema ini bertujuan menggalakkan lebih ramai penggiat seni untuk mendaftarkan karya muzik mereka secara rasmi sebagai langkah melindungi hak dan hasil ciptaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Armizan menghadiri Sambutan Hari Harta Intelek Negara 2025 yang diadakan di Menara MyIPO di Petaling Jaya hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, pada tahun 2024, daripada 9,363 jumlah permohonan melibatkan tujuh kategori karya, hanya 95 permohonan karya muzik dan 65 permohonan rakaman bunyi diterima.

Armizan (tiga dari kiri) hadir pada Majlis Perasmian Hari Harta Intelek Negara 2025 Muzik Kita Milik Kita.

“Bagi tahun ini, setakat 15 April 2025 pula, daripada 1,958 permohonan pendaftaran hak cipta, pendaftaran untuk karya muzik dan rakaman bunyi masih menunjukkan angka yang sangat rendah, masing-masing dengan hanya 3 dan 23 permohonan sahaja,” katanya.

Justeru itu, beliau berkata, program kesedaran perlu ditingkatkan untuk memperkukuh kefahaman
seterusnya menggalakkan pihak berkepentingan untuk membuat permohonan pendaftaran hak cipta bagi memelihara karya masing-masing.

Dalam pada itu, Armizan turut memaklumkan kementeriannya melalui MyIPO komited memperkukuh pembangunan kapasiti melalui kerjasama strategik, termasuk menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) bersama China National Intellectual Property Administration (CNIPA).

MoU itu yang dimeterai semasa lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia minggu
lepas bertujuan memperbaharui kerjasama yang telah dimulakan sejak 2015.

“Kerjasama ini untuk memperluas skop kerjasama melibatkan bidang harta intelek merangkumi pertukaran maklumat, pembangunan strategi
dan pelaksandan amalan terbaik demi kepentingan bersama kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata antara inti pati MoU itu ialah berkaitan perlindungan petunjuk geografi yang berpotensi merangsang pembangunan ekonomi setempat melalui pengiktirafan produk unik di sesebuah kawasan, pembangunan kapasiti dan teknologi serta pemerkasaan pemeriksaan paten.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button