BERITA SEMASA

Hargai keamanan, ambil iktibar rusuhan dan peperangan luar negara – Anwar

ISKANDAR PUTERI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat menghargai nikmat keamanan dan perpaduan yang dinikmati Malaysia, selain menjadikan pergolakan di luar negara sebagai iktibar.

Beliau menegaskan, negara ini masih berada dalam keadaan aman berbanding banyak negara lain yang kini berdepan peperangan, rusuhan rakyat dan keganasan bersenjata.

“Kita bersyukur betul, alhamdulillah. Kalau dibandingkan dengan banyak negara lain, Malaysia jauh lebih aman. Rusuhan berlaku di mana-mana,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup pada Majlis Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2025 di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Merujuk kepada situasi di Palestin, Ukraine serta insiden penembakan di Utah, Amerika Syarikat dua hari lalu, Perdana Menteri berkata, kejadian itu jelas menunjukkan dunia kini sedang bergolak.

“Dunia sekarang kucar-kacir, peperangan di Palestin, Ukraine, penembakan di Utah. Kita berdoa kepada ALLAH SWT agar kita dapat terus kekalkan keamanan dan perpaduan yang kita miliki,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan agensi dan jabatan agama Islam perlu menjadi pencetus serta penggerak utama pembangunan negara yang lebih hebat, namun tetap berlandaskan nilai Islam dan akhlak mulia.

Beliau berkata, usaha itu termasuk melaksanakan transformasi ke arah digitalisasi serta penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).

“Saya minta supaya semua dasar negara, termasuk program pembangunan desa hingga ke bidang digital dan AI, perlu mengambil input daripada sudut pandangan Islam,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button