
Harga ubat perlu dipamer mulai 1 Mei – Young Syefura
KUALA LUMPUR – Kerajaan menguatkuasakan Perintah Penandaan Harga bagi ubat di fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti bermula hari ini bagi memastikan harga ubat-ubatan lebih telus, adil dan mampu milik untuk rakyat.
Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Young Syefura Othman berkata, langkah itu dibuat menerusi kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bawah Akta 723.
Menurutnya, pelaksanaan dasar itu merupakan satu langkah progresif ke arah melindungi hak pengguna serta memperkasakan pengguna untuk membuat pilihan ubat yang lebih berinformasi.
“Paparan harga ubat akan membolehkan pengguna membuat keputusan bijak, mengelakkan bayaran berlebihan dan pada masa sama, mewujudkan persaingan sihat dalam pasaran,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau bagaimanapun mengakui kerajaan memahami kebimbangan pihak industri berhubung pelaksanaan dasar itu.
Syefura berkata, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, kerajaan akan melaksanakan dasar itu secara berfasa selama tiga bulan.
“Kerajaan juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak industri dan pemegang taruh bagi menilai kesan pelaksanaan dasar ini,” katanya lagi
Syefura turut berkata, dasar penandaan harga itu tidak bertujuan menyekat pertumbuhan sektor farmaseutikal, sebaliknya bertindak sebagai keseimbangan antara kepentingan industri dan kebajikan rakyat.
“Inilah pendekatan Kerajaan Madani yang menekankan ketelusan, kesaksamaan dan keutamaan kepada rakyat dalam dasar kesihatan negara,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |