
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memuktamadkan mengenai status kategori tunggal beras putih bagi menggantikan pengkelasan sedia ada pada petang ini.
Perdana Menteri berkata, ia akan dibincangkan pada Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), termasuk penetapan harga jualan sumber makanan ruji berkenaan.
“Beras Putih Malaysia Madani akan dibincangkan petang ini, tetapi janganlah soal mengenai isu beras sahaja kerana inisiatif ketika ini turut membabitkan penjualan barangan lain seperti ikan, ayam daging dan sayur pada harga lebih murah,” katanya.
Perdana Menteri menjelaskan demikian pada sidang media selepas merasmikan Hab Kewangan Antarabangsa Malaysia di Menara Tun Razak Exchange (TRX) di sini hari ini.
Katanya, pengumuman mengenai harga, terutama beras mestilah dibuat kerajaan, namun tidak salah jika ada pihak membuat cadangan.
“Ia (cadangan harga) boleh, sebab negara kita demokrasi dan ia boleh dilakukan. Namun, (harga beras diumumkan sebelum ini) bukanlah keputusan kerajaan,” katanya.
Pada 17 Februari lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan, belum ada ketetapan dibuat ke atas cadangan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.
Kekeliruan mengenai perkara itu susulan pengumuman dibuat Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) NACCOL yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pada 14 Februari.
Syed Abu Hussin memaklumkan, kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kilogram sekampit yang dijangka berada di pasaran bermula 1 Mac.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






