BERITA SEMASADALAM NEGERI

‘Haramkan akhbar tidak bermoral, cetus ketidakharmonian’ – Prof Murad Merican

KUALA LUMPUR – Kedua-dua akhbar berbahasa Cina yang terpalit kontroversi memaparkan imej Jalur Gemilang tanpa bulan sabit perlu dikenakan tindakan tegas termasuk dihentikan penerbitan.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Datuk Dr. Murad Merican menegaskan perkara itu ketika dihubungi Malaysia Tribune.

Prof Datuk Dr. Ahmad Murad Merican

“Saya menyeru agar tindakan tegas diambil, bukan hanya dengan mendenda atau menyiasat di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, tetapi juga mempertimbangkan untuk memberhentikan penerbitan atau mengharamkan akhbar-akhbar tersebut jika terbukti mereka bersifat tidak bermoral dan mencetuskan ketidakharmonian dalam negara,” ujar beliau.

Menurutnya lagi, tindakan itu sebagai tidak munasabah dan amat memalukan apatah lagi diterbitkan pada halaman muka depan yang sudah pasti melalui pelbagai lapisan semakan serta proses editorial.

“Hakikatnya kedua-dua surat khabar itu telah melacurkan bendera dan kedaulatan negara Malaysia.

“Ini bukan kali pertama mereka menyiarkan imej bendera Malaysia. Sebagai akhbar arus perdana, sepatutnya mereka memahami kepekaan terhadap simbol negara. Kecuaian ini tidak boleh diterima sama sekali.

“Oleh itu, editor dan mereka berkaitan mesti dihukum mengikut undang-undang dan kedua-dua surat khabar itu ditutup. Tiada maaf dapat diterima,” tegasnya.

Permohonan maaf oleh akhbar Sin Chew Daily tidak boleh diterima, sebaliknya tindakan tegas perlu diambil sebagai pengajaran buat pengamal media yang lain.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap wujudnya kecenderungan segelintir syarikat media berbahasa Cina termasuk editor, wartawan dan pembaca yang berpegang pada satu bentuk nasionalisme alternatif dan imaginasi tersendiri tentang negara ini.

“Mereka tidak menggambarkan Malaysia sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan atau yang dibina atas dasar sejarah kenegaraan.

“Ini adalah satu bentuk pencabulan terhadap identiti nasional,” katanya.

Beliau menegaskan isu tersebut bukan sekadar melibatkan soal perundangan atau etika kewartawanan semata-mata, sebaliknya perlu ditangani secara menyeluruh oleh agensi-agensi berkaitan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Bahagian Keselamatan Negara.

“Perkara ini perlu dijadikan amaran tegas kepada semua media vernakular, baik Cina mahupun Tamil agar tidak sesekali mengambil ringan mengenai simbol dan institusi negara.

“Ini bukan isu remeh. Ia menyentuh soal kedaulatan negara. Lakaran visual dan kedudukan bendera itu sendiri sudah cukup untuk menggambarkan bentuk provokasi halus namun berbahaya,” katanya sambil menolak alasan kononnya kesilapan tersebut berpunca daripada kecuaian teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button