BERITA SEMASALUAR NEGARA

Hapuskan bukti, RSF gali semula kubur besar di El-Fasher – penyelidik Universiti Yale

KHARTOUM – Pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) didakwa menggali beberapa kubur besar di bandar El-Fasher, wilayah Darfur Barat, Sudan, yang kini bergolak sejak kumpulan itu menguasai bandar berkenaan bulan lalu dalam usaha menutup bukti pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di situ.

Pendedahan itu dibuat oleh penyelidik Universiti Yale, Nathaniel Raymond, yang juga Pengarah Eksekutif Humanitarian Research Lab di Sekolah Kesihatan Awam Yale.

Beliau memberitahu saluran berita Al Jazeera bahawa RSF telah mula menggali kubur besar dan mengumpulkan mayat di seluruh bandar itu.

“Mereka sedang membersihkan bukti pembunuhan beramai-ramai,” katanya.

RSF merampas El-Fasher, ibu negeri Darfur Utara, pada 26 Oktober lalu selepas tentera Sudan (SAF) berundur dari kawasan berkenaan.

Kedua-dua pihak telah berperang sejak April 2023 bagi merebut kuasa di Sudan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 70,000 penduduk telah melarikan diri dari El-Fasher dan kawasan sekitarnya sejak pengambilalihan itu.

Saksi dan kumpulan hak asasi manusia turut melaporkan berlakunya pembunuhan tanpa bicara, keganasan seksual serta pembunuhan orang awam secara besar-besaran.

Laporan dikeluarkan oleh makmal penyelidikan Yale pada 28 Oktober turut mengesan bukti jelas pembunuhan beramai-ramai, termasuk tompok darah yang kelihatan dalam imej satelit di beberapa kawasan sekitar El-Fasher.

Pegawai UNHCR di Sudan, Jacqueline Wilma Parlevliet, pula memberi amaran bahawa ribuan penduduk masih terperangkap di bandar berkenaan tanpa bekalan asas.

“Situasi keselamatan yang semakin buruk menyukarkan penghantaran bantuan kemanusiaan. Ramai yang kini terperangkap tanpa makanan, air dan rawatan perubatan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button