
Hanya 0.02 peratus penderma organ dapat tunaikan ikrar
KUALA LUMPUR – Terdapat lebih 300,000 individu yang telah berikrar untuk menderma organ seperti jantung, hati, paru-paru dan sebagainya, namun hanya 0.02 peratus sahaja berakhir dengan pendermaan tersebut.
Pengerusi Institut Jantung Negara (IJN), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini adalah kerana apabila tiba masanya untuk menderma organ dimaksudkan, ada ahli keluarga yang tidak bersetuju dan sebagainya.
“Kekangan dan cabaran yang kita ada selama 30 tahun adalah mendapatkan organ, jadi kami memerlukan kerjasama daripada setiap individu yang telah berikrar untuk menderma organ.
“Walaupun ramai yang berikrar tetapi apabila tiba masanya, ada keluarga yang tidak bersetuju dan sebagainya,” kata Dr. Noor Hisham, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbat selepas majlis Second Chance At Life: Successful Heart Transplant Journey di IJN, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IJN, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim; Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotoraks, Profesor Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib dan tetamu kehormat lain.
Menurutnya, di IJN sahaja, terdapat 22 pesakit sedang menunggu penderma yang sesuai untuk melaksanakan pemindahan yang melibatkan jantung.
“Negara paling berjaya dalam pemindahan ini yang boleh dicontohi ialah Turkiye yang mana pada 2008 hingga 2020, mereka berjaya membuat pemindahan sebanyak 768 di 15 pusat jantung tetapi negara kita hanya 29,” katanya.
Dr. Noor Hisham menjelaskan, ramai pakar dari Malaysia telah dihantar ke Turkiye untuk mempelajari lebih lanjut mengenai pemindahan tersebut.
Bagaimanapun, kepakaran berkenaan sukar dikembangkan berikutan masih terdapat stigma buruk dalam kalangan masyarakat mengenai perkara itu.
“Orang ramai masih mempunyai stigma walaupun pihak jabatan agama Islam telah mengeluarkan fatwa dibolehkan untuk menderma organ yang bukan hanya melibatkan jantung sahaja.
“Kalau ada kepakaran tetapi tidak ada organ, susah untuk meningkatkan (kepakaran) ini.
“Oleh itu, kerjasama padu daripada semua pihak seperti Kementerian Kesihatan (KKM), IJN dan sebagainya diperlukan untuk mengatasi stigma ini seterusnya memastikan kejayaan pemindahan organ di negara kita,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |