
Hannah Yeoh sifatkan dakwaan mahu murtadkan orang Islam tidak masuk akal
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menzahirkan rasa kecewa susulan dakwaan yang dibuat berhubung buku tulisannya berjudul Becoming Hannah: A Personal Journey.
Hannah malah menegaskan bahawa dakwaan-dakwaan tesebut sebagai suatu perkara yang tidak masuk akal dan hanya fitnah yang dikitar semula sejak 2017 demi kepentingan politik.
“Saya nasihatkan kepada semua yang gunakan media sosial, tengok Youtube, tengok video semua kena selalu buat kajian check fakta sama ada betul atau tidak.
“Kalau tidak memang setiap hari kita berhadapan dengan isu yang sama. Buku saya sudah 2014 siar, sudah berapa tahun dah kerana saya ini ahli politik jadi mana-mana saya pergi ada unit cawangan khas dan polis.
“Jika saya ada murtadkan orang Islam tidak mungkin polis tak tahu. Adakah saya boleh berdiri di sini setelah 10 tahun ini semua fitnah tak masuk akal,” tegas Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut dari DAP.
Hannah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis sesi penyerahan projek naik taraf kemudahan sukan Wilayah Persekutuan: Gelanggang Bola Keranjang di ibu negara hari ini.
Terdahulu, beberapa badan bukan kerajaan (NGO) telah membuat laporan polis bagi menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku terbitan Hannah kerana ia didakwa bahaya dan mengancam keselamatan negara.
Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah difailkan oleh Hannah terhadap Tan Sri Musa Hassan berhubung kenyataan dibuat bekas Ketua Polis Negara itu pada satu forum di Universiti Teknologi MARA empat tahun lalu.
Saman itu difailkan pada 3 Julai 2020 mendakwa Musa dengan niat jahat membuat kenyataan tidak benar terhadap Yeoh pada forum ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?’
Hannah kemudian memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya itu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |