
Hannah Yeoh rasmi Stadium Pickleball KWC, tawar fasiliti sukan percuma pelajar sekolah
KUALA LUMPUR – Stadium Pickleball di Kenanga Wholesale City (KWC) Fashion Mall Kuala Lumpur menawarkan latihan, penggunaan gelanggang dan alatan pickleball secara percuma kepada semua pelajar sekolah rendah kebangsaan seluruh negara.
Disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hari ini, usaha murni tersebut merupakan hasil inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) “Free Pickleball For School”.
“Syarikat E-Motion Sdn. Bhd. telah melaksanakan inisiatif CSR dengan menawarkan latihan, penggunaan gelanggang dan alatan pickleball seperti padel dan bola secara percuma kepada semua pelajar sekolah rendah kebangsaan seluruh negara.
“Tawaran ini adalah untuk setiap hari bekerja bermula jam 8.00 pagi sehingga 4.00 petang,” kata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan hari ini.

KBS menambah, sejak Oktober 2023, KBS telah memperjuangkan agenda merakyatkan fasiliti stadium di seluruh negara dan antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk membenarkan Program Hari Sukan Sekolah di Stadium Negara Bukit Jalil secara percuma.
“Inisiatif syarikat ini selari dan menyokong usaha KBS dalam merancakkan pembudayaan sukan dan amalan gaya hidup cergas dalam kalangan
masyarakat terutamanya di peringkat komuniti dan penduduk setempat,” katanya.
KBS berkata, pelaksanaan aktiviti sukan dan kecergasan seumpama ini turut bertepatan dengan matlamat Visi Sukan Negara 2030 iaitu untuk mencapai status Negara Bersukan (Sporting Nation) menjelang tahun 2030.
“KBS berharap lebih banyak lagi syarikat swasta dan pemegang taruh yang lain dapat tampil ke depan dalam melaksanakan CSR berkaitan sukan kerana pembangunan sukan negara merupakan tanggungjawab bersama dan memerlukan pendekatan whole-of-nation,” ujarnya lagi.
Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut berhubung perkara ini, sila hubungi JBSWPKL di talian 03-2081 5800.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |