
Hannah Yeoh rasmi dua kemudahan sukan di UPSI
TANJUNG MALIM – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus komited dalam memperkasakan pembangunan sukan di peringkat akar umbi melalui kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi (IPT).
Komitmen terbaharu KBS itu baru-baru ini diterjemahkan dengan perasmian dua kemudahan penting dalam pembangunan sains sukan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) iaitu Star Wellness Hub UPSI dan Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) di UPSI.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, Pusat Satelit itu menyediakan perkhidmatan rehabilitasi sukan kepada pelajar dan atlet universiti, sekali gus memperkukuhkan lagi usaha dalam memastikan kesejahteraan serta prestasi atlet berada pada tahap optimum.
“Dalam lawatan ini, saya berbesar hati merasmikan Star Wellness Hub UPSI dan Pusat Satelit Institut Sukan Negara (ISN) di UPSI.
“Selain itu, saya turut berkesempatan meninjau fasiliti sukan di kampus ini yang dilihat berpotensi besar dalam menyumbang kepada pembangunan bakat muda dalam bidang sukan,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau kelmarin.

Hannah berkata, kerjasama erat antara KBS dan UPSI amat penting dalam memastikan ilmu, inovasi serta bakat dalam sains sukan terus berkembang.
Katanya, UPSI merupakan antara universiti utama di Malaysia yang memainkan peranan penting dalam memperkasa pembangunan sukan terutama di peringkat akar umbi.
“Saya yakin dengan inisiatif ini, lebih ramai bakat muda dapat digilap, sekali gus menyumbang kepada ekosistem sukan yang lebih mampan dan berprestasi tinggi di negara ini,” katanya.

Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |