
Trend jurulatih Malaysia berhijrah ke luar negara membimbangkan – Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, bimbang terhadap peningkatan trend tenaga jurulatih sukan di negara ini meninggalkan Malaysia untuk menjadi jurulatih di luar negara.
Kebimbangan itu disuarakan Hannah susulan bekas penerjun wanita negara, Wendy Ng yang meninggalkan Malaysia untuk menjadi jurulatih di Singapura.
Wendy yang bersara pada April tahun lepas, kini memegang jawatan sebagai jurulatih pembangunan bakat di bawah Akuatik Singapura.
“Saya rasa sedih melihat Wendy melatih Singapura, tetapi bukan dia seorang sahaja. Ramai gimnas kita juga telah ke sana untuk menjadi jurulatih,” katanya.
Hannah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Penyerahan Projek Naik Taraf Kemudahan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Gelanggang Bola Keranjang di Jalan Burung Kasawari,Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur, hari ini.

Projek naik taraf gelanggang bola keranjang yang telah siap sepenuhnya pada 20 November 2024 itu melibatkan pembinaan bumbung yang baharu dan merupakan salah satu inisiatif KBS bagi memastikan fasiliti sukan dapat memenuhi keperluan lebih ramai orang.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, adalah sukar untuk kementeriannya menghalang penghijrahan jurulatih tempatan memandangkan tawaran gaji di luar negara jauh lebih lumayan.
Justeru itu, Hannah berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif dengan meningkatkan gaji jurulatih pada tahun lalu, yang menyaksikan jurulatih bertauliah tahap tiga menerima kenaikan gaji asas daripada RM4,500 kepada RM5,900 sebulan.
Tambah Hannah, elaun khas juga diperkenalkan kepada jurulatih yang pernah memenangi pingat Olimpik iaitu sebanyak RM3,500 atau RM3,000 untuk kejuaraan dunia.
“Tawaran luar negara memang sangat menarik lebih-lebih lagi dengan kadar tukaran kepada ringgit Malaysia.
“Oleh sebab itu, apa yang kita lakukan ialah untuk menarik mereka kembali ke Malaysia. Sebab itu, tahun lalu kita menaikkan gaji jurulatih kebangsaan
“Kita perlu memastikan jurulatih diberi imbuhan yang sewajarnya. Jika tidak, kita berisiko kehilangan lebih ramai jurulatih,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |