
Hampir 29,000 syarikat laksana e-Invois, libatkan 262 juta transaksi
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying memaklumkan hampir 29,000 syarikat telah melaksanakan penggunaan e-Invois sehingga 28 April lalu, melibatkan lebih 262 juta transaksi.
Menurut Hui Ying, jumlah itu merangkumi 5,400 pembayar cukai bagi fasa pertama dan 12,600 pembayar cukai fasa kedua yang mula melaksanakan e-Invois sejak awal tahun ini.
Selain itu, beliau berkata, ia turut merangkumi lebih 11,000 pembayar cukai fasa ketiga yang mengambil inisiatif melaksanakannya secara sukarela lebih awal daripada tarikh mandatori, iaitu bermula 1 Julai ini.
“Ini adalah satu pencapaian luar biasa yang membuktikan dengan komitmen dan persediaan rapi, transformasi digital dalam sistem percukaian mampu dilaksanakan dengan berkesan.
“Syabas kepada semua pihak yang terlibat. Saya percaya angka ini akan terus meningkat, seiring pelbagai usaha promosi kesedaran dan pendidikan yang giat dijalankan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jelajah Mega E-Invois 2025 Peringkat Nasional di Ibu Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di ibu negara hari ini.
Dalam pada itu, Lim turut yakin LHDN akan terus mengukuhkan komitmen serta sokongan kepada pembayar cukai dan mengambil langkah proaktif untuk memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan lancar.
E-invois adalah invois dalam format digital representasi yang mengandungi maklumat transaksi antara penjual dengan pembeli, termasuk maklumat sedia ada seperti jenis barang, kuantiti, harga, jumlah yang perlu dibayar dan maklumat cukai.
Semua pembayar cukai di Malaysia yang menjalankan aktiviti komersial, diwajib melaksanakan e-invois dengan garis masa pelaksanaan yang berbeza bergantung pada pendapatan atau jualan tahunan.
Dalam majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, berkata LHDN telah mengambil langkah proaktif bagi menyokong keperluan PMKS yang terbabit khususnya dalam fasa keempat pelaksanaan e-invois.
Beliau berkata, langkah itu termasuk menyediakan Sistem MyInvois e-POS, platform digital Point-of-Sale (POS) yang boleh diakses secara percuma oleh PMKS dengan pendapatan atau jualan tahunan kurang daripada RM250,000.
Dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Mac lalu, sistem MyInvois e-POS menawarkan pelbagai fungsi utama pengoperasian perniagaan, termasuk fungsi perekodan jualan, pengurusan inventori, pelaporan kewangan dan menyokong pelaksanaan e-Invois.
Mengenai Program Jelajah Mega e-Invois, Abu Tariq berkata, ia dijalankan secara serentak di seluruh Malaysia yang membabitkan 38 lokaliti di seluruh Malaysia dengan pembabitan penyertaan lebih 1,000 orang pegawai barisan hadapan LHDN.
Beliau berkata, dianggarkan sebanyak lebih 4,000 premis yang akan dilawati di seluruh Malaysia dengan sekurang-kurangnya 23 sesi taklimat percuma akan diadakan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat awam.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |