
Hampir 100 kakitangan Aman Palestin diarah ambil ‘cuti tanpa gaji’
CYBERJAYA – Hampir 100 daripada 150 kakitangan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) telah diminta bercuti tanpa gaji sehingga dimaklumkan kelak.
Menurut Pengurus Jabatan Media dan Dokumentasi Aman Palestin, Ismail Muhammad Jufri, keputusan itu dimuktamadkan pengurusan NGO berkenaan berkuat kuasa 1 Februari.
“Aman Palestin ketika ini, tidak dihalang untuk beroperasi, namun kos operasi sepenuhnya bergantung kepada dana sampingan yang sangat terhad,” katanya dalam satu laporan portal Buletin TV3.
Beliau turut berkata, 13 daripada 20 cawangan Aman Palestin di seluruh negara turut ditutup dan pihaknya tidak menolak kemungkinan akan melakukan pengecilan operasi kali kedua sekiranya akaun milik Aman Palestin terus dibekukan.
Tambah Ismail, setakat ini pihaknya masih menerima sumbangan daripada pihak tertentu dan petugas yang ada perlu melaksanakan bidang tugas berganda bagi menampung kekurangan tenaga kerja.
Kelmarin, Pengerusi Aman Palestin, Abdullah Zaik Abdul Rahman dan ketua pegawai eksekutif, Awang Suffian Awang Piut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan pecah amanah, tipu dan ubah wang haram bernilai RM39.5 juta.
Turut didakwa, pengarah sebuah syarikat pelaburan, Khairudin Mohd Ali.
Ketiga-tiga mereka yang berdepan keseluruhan 164 pertuduhan mengaku tidak bersalah.
SPRM menerusi kenyataan pada 22 November lalu memaklumkan, 41 akaun Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain yang berkaitan dibekukan, membabitkan jumlah keseluruhan RM15,868,762.
Pembekuan akaun itu dibuat susulan siasatan terhadap dakwaan syarikat NGO berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober 2022.
Untuk rekod, Aman Palestin beroperasi sejak tahun 2004.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |