
Hamidin terima Anugerah Jasamu Dikenang
SHAH ALAM – Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin dianugerahkan Anugerah Jasamu Dikenang pada Majlis Anugerah Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2024 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM, Shah Alam, malam tadi.
Penganugerahan tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam pembangunan bola sepak tanah air serta usahanya memperkasa peranan institusi pengajian tinggi dalam ekosistem sukan negara.
Hamidin, yang kini menyandang jawatan Presiden Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), juga merupakan Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Beliau dianggap sebagai antara arkitek utama kemajuan bola sepak Malaysia, khususnya menerusi dasar pembangunan akar umbi dan profesionalisme pengurusan sukan.
Berpaksikan pengalaman awal dalam bidang perbankan, Tan Sri Hamidin memulakan karier dalam dunia bola sepak sebagai Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada 1995, sebelum menjawat jawatan Setiausaha Agung FAS selama 15 tahun bermula 1998.
Beliau kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada 2013 hingga 2018, dan menjulang ke jawatan Presiden FAM pada 2018.
Baca juga : Hamidin dilantik Presiden Kehormat FAM
Sepanjang dua penggal memimpin FAM, beliau bukan sahaja mencorakkan hala tuju bola sepak kebangsaan tetapi turut meletakkan asas kukuh untuk penyertaan institusi pendidikan seperti UiTM dalam arena bola sepak profesional.
UiTM antara institusi yang menerima manfaat langsung daripada kepimpinan beliau.
Antara sumbangan besar termasuk pengiktirafan UiTM sebagai Pusat Kecemerlangan Bola Sepak pada 2010, penubuhan Akademi Bola Sepak Negara KPT-UiTM-FAM, serta pelbagai program pembangunan termasuk kursus kejurulatihan, pengurusan bola sepak dan pensijilan profesional di peringkat IPT.
Kejayaan UiTM FC melangkah dari Liga FAM hingga ke Liga Super Malaysia turut mencerminkan keberkesanan inisiatif beliau dalam melonjakkan mutu bola sepak di peringkat universiti.
Walaupun mengundurkan diri sebagai Presiden FAM pada Februari 2025, sumbangan beliau terus dikenang apabila diberikan gelaran Presiden Kehormat FAM sempena Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2025 pada 30 Jun lalu.
Dilahirkan di Gombak, Selangor pada 24 Disember 1965, Tan Sri Hamidin bukan sahaja meninggalkan legasi gemilang dalam pentadbiran sukan tanah air, malah menjadi ikon kepimpinan buat generasi baharu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |