Pembinaan negara bangsa jadi hala tuju baharu Kementerian Perpaduan Negara
KUALA LUMPUR – Pembinaan negara bangsa bakal menjadi tumpuan utama Kementerian Perpaduan Negara pada tahun hadapan, selaras dengan mandat yang telah diberikan bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, berdasarkan dapatan Indeks Perpaduan Nasional, pihaknya mengenal pasti 10 defisit sosial yang perlu ditangani segera, termasuk isu agama, jurang generasi, bahasa, kelas sosial serta pengaruh media sosial.
Justeru, beliau berkata, indikator itu menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum melalui pendekatan yang lebih tersusun, inklusif dan berkesan.
Menurut beliau, kementeriannya memandang serius penemuan kajian tersebut kerana defisit sosial yang dikesan berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat sekiranya tidak diberi perhatian sewajarnya.
“Isu seperti perbezaan pandangan agama, jurang antara generasi muda dan tua, penggunaan bahasa yang berbeza serta wujudnya kelompok berdasarkan kelas sosial perlu diselesaikan dengan pendekatan tepat,” katanya.
Aaron berkata demikian ketika berucap pada majlis Kementerian Perpaduan Negara bersama media di ibu negara hari ini.
Aaron berkata, aspek media sosial turut menjadi cabaran besar kerana penyebaran maklumat tanpa kawalan mampu mempercepatkan salah faham, menanam rasa curiga serta menyuburkan sentimen negatif antara kaum.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kementeriannya akan memberi tumpuan kepada program yang memupuk interaksi sihat, meningkatkan kefahaman antara komuniti serta mengukuhkan nilai kebangsaan merentasi budaya dan agama.
“Kita mahu memastikan setiap rakyat, tanpa mengira latar belakang, dapat merasakan mereka sebahagian daripada keluarga besar Malaysia, selaras dengan matlamat memperkukuh perpaduan nasional,” ujarnya.
Pada masa sama, Aaron berkata, kementeriannya juga akan memperluas kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan masyarakat sivil serta institusi pendidikan bagi memastikan usaha membina negara bangsa dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Beliau yakin fokus baharu ini akan membantu mewujudkan masyarakat yang lebih kukuh, saling menghormati dan matang dalam menghadapi perbezaan pandangan serta cabaran semasa.
“Perpaduan bukan hanya slogan, tetapi tanggungjawab bersama untuk memastikan Malaysia terus stabil, harmoni dan maju,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







