
Hak mutlak rakyat Palestin perlu dipertahankan – Ismail Sabri
PUTRAJAYA – Semua pertubuhan Islam dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digesa bersatu untuk bersama-sama menghentikan kekejaman yang dilakukan rejim Zionis Israel ke atas Palestin.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, konflik terbaharu Palestin dan Israel adalah berpunca daripada sejarah yang panjang selepas rakyat Palestin dikurung dalam penjara terbuka yang terbesar di dunia berdekad-dekad lamanya.
“Mereka dizalimi, dibunuh dan tanah dirampas. Setiap hari, mereka hanya menunggu masa untuk menjadi korban serangan rejim Israel.
“Justeru, usah terperangkap dengan naratif Israel dan Barat bahawa konflik ini berpunca daripada Hamas. Selagi puncanya tidak diselesaikan, maka konflik ini akan terus berpanjangan dan mengorbankan ribuan nyawa.
“Hak mutlak rakyat di bumi Palestin untuk membentuk sebuah negara merdeka yang berdaulat wajib dipertahankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan Malaysia sejak dahulu sehingga kini tetap menyokong bahawa
bumi Palestin perlu bebas daripada pendudukan haram Israel.
Malah, katanya, perkara itu turut ditegaskannya ketika Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, di mana kuasa-kuasa besar digesa untuk bersikap jujur dalam menyelesaikan isu rakyat Palestin.
“Dalam krisis yang berlaku hari ini, saya ingin menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, PBB dan seluruh dunia Islam bersatu dan bersama-sama menghentikan kekejaman yang dilakukan rejim Zionis Israel ke atas bumi Palestin.
“Saya menyeru agar seluruh Keluarga Malaysia bersolidariti dan berdoa agar bumi Palestin terus dilindungi dan dirahmati oleh Allah SWT,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |