Berita Semasa

Had tempoh jawatan PM 10 tahun, langkah elak penyalahgunaan kuasa

PUTRAJAYA – Cadangan menghadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun bukanlah perkara baharu, memandangkan ia seiring dengan visi dan kerangka dasar reformasi yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam gagasan ‘Membangun Negara Madani’.

Menurut Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, langkah tersebut adalah bagi memastikan pentadbiran yang bersih, sistem yang teratur, serta mengelakkan pemusatan kuasa yang berisiko menyebabkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Malah katanya, terdapat juga beberapa negara yang telahpun melaksanakan pendekatan ini seperti negara jiran, Indonesia.

“Langkah menghadkan tempoh keperdanamenterian seseorang pemimpin juga mengambil kira landskap geopolitik hari ini dan masa depan yang memerlukan iltizam semua pihak memberi ruang kepada nafas-nafas baharu dan barisan pelapis kepimpinan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan PMO Malaysia hari ini.

Mengulas lanjut, Tunku Nashrul berkata, Perdana Menteri turut mengingatkan segelintir pihak daripada blok pembangkang agar tidak menjadikan niat murni ini sebagai bahan politik perkauman sempit dan dangkal.

Beliau berkata, ‘roh dan sifat’ jawatan perdana menteri itu sudah terang lagikan bersuluh seperti mana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, jelasnya, menghadkan tempoh jawatan itu nyata tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas tersebut, malah ia adalah langkah penting dalam menjamin kematangan demokrasi negara.

Beliau berkata, perdana Menteri turut meminta mana-mana Ahli Parlimen yang mempersoal perkara ini supaya membaca sebelum mengkritik secara semberono.

“Baca dan hadam buku tulisan Anwar Ibrahim yakni ‘Membangun Negara Madani’. Sila rujuk muka surat 181, di bawah tajuk ‘Dasar Keutamaan Untuk Malaysia Yang Lebih Baik.

“Perdana Menteri menyarankan agar ia dibahaskan dengan sihat dan penuh rasa tanggungjawab serta memandang kepada cabaran masa hadapan selain menjemput semua pihak untuk memberikan input ke arah sebuah sistem yang telus dan adil,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button