BERITA SEMASALUAR NEGARA

Guterres gesa siasatan bebas insiden kematian di Rafah

RAFAH – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres menggesa siasatan bebas dan segera berhubung insiden yang mengorbankan puluhan penduduk Palestin di sebuah pusat agihan bantuan di Rafah, selatan Gaza.

Menurut laporan media antarabangsa, insiden tersebut berlaku ketika ratusan penduduk Palestin beratur untuk mendapatkan bantuan makanan daripada Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sebuah organisasi yang menerima sokongan Amerika Syarikat dan Israel.

Agensi Pertahanan Awam yang dikendalikan oleh Hamas memaklumkan sekurang-kurangnya 31 terbunuh dalam kejadian tersebut, manakala Palang Merah melaporkan menerima 179 mangsa, termasuk 21 yang meninggal dunia.

Bagaimanapun, tentera Israel menafikan dakwaan bahawa pasukan mereka melepaskan tembakan ke arah orang awam di kawasan itu dan menyifatkan laporan terbabit sebagai tidak benar.

GHF turut menolak dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai rekaan sepenuhnya.

Guterres berkata, beliau “terkejut” dengan insiden berkenaan dan menekankan pentingnya siasatan bebas dijalankan serta pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Israel menyelar kenyataan Guterres dan menyifatkannya sebagai memalukan kerana tidak menyebut langsung peranan Hamas dalam konflik tersebut.

Sementara itu, tiga lagi penduduk Palestin dilaporkan terbunuh akibat tembakan Israel berhampiran kemudahan GHF di kawasan Tal al-Sultan, Rafah.

Hospital Palang Merah menerima 50 orang mangsa, kebanyakannya mengalami kecederaan akibat tembakan dan serpihan peluru, termasuk dua yang maut sebaik tiba di hospital.

Hospital Nasser di Khan Younis turut menerima satu mayat.

Tentera Israel menjelaskan bahawa tembakan amaran dilepaskan ke arah individu yang menghampiri kedudukan pasukan mereka kira-kira satu kilometer dari kawasan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.

Dalam perkembangan berasingan, Agensi Pertahanan Awam turut melaporkan 14 individu termasuk enam kanak-kanak dan tiga wanita terbunuh dalam satu serangan udara Israel di bandar Jabalia, utara Gaza. Lebih 20 lagi dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan.

Sejak ketenteraan Israel memulakan operasi pada 7 Oktober 2023, angka korban di Gaza kini mencecah sekurang-kurangnya 54,470 orang, termasuk 4,201 mangsa sejak serangan disambung semula, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button